Pengendali RTS Link umum pelantikan Datuk Khairil Anwar sebagai pengerusi | DagangNews Skip to main content

Pengendali RTS Link umum pelantikan Datuk Khairil Anwar sebagai pengerusi

Datuk Khairil Anwar Ahmad
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 8 April - RTS Operations Pte Ltd (RTSO), pengendali projek Rapid Transit System Link (RTS Link) Johor Bahru-Singapura, melantik Datuk Khairil Anwar Ahmad sebagai pengerusi baharunya, menggantikan Datuk Mohd Farid Mohd Adnan.

 

Pelantikan itu berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024, menurut kenyataan RTSO iaitu entiti usaha sama antara Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan pengendali kereta api Singapura SMRT Corporation Ltd.

 

Khairil sebelum ini berkhidmat di Iskandar Investment Bhd (IIB), anak syarikat Khazanah Nasional Bhd, yang disertainya pada 2007.

 

Beliau berkhidmat dalam pelbagai jawatan termasuk sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) EduCity@Iskandar dan sebagai pengarah urusan dan CEO Medini Iskandar Malaysia, sehingga beliau bersara sebagai presiden dan CEO IIB pada Disember 2022.

 

"Sepanjang berkhidmat di IIB, beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengarah dalam lembaga pengarah beberapa syarikat, termasuk usaha sama dengan KWSP, Sunway Group, Mitsui & Co dan Mubadala Group," kata RTSO.

 

 

rts link

 

rts link

 

 

Khairil berkata beliau komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan lembaga dan pengurusan RTSO untuk melaksanakan projek RTS Link.

 

"Saya mengambil tahu tentang skala dan kepentingan strategik projek itu dalam membawa manfaat yang besar untuk kedua-dua Malaysia dan Singapura, dan dalam mengukuhkan lagi hubungan yang berakar umbi dan rapat antara kedua-dua negara," katanya.

 

"RTSO telah mencatatkan kemajuan yang luar biasa dan kami akan berusaha untuk meneruskan legasi [Mohd Farid], sambil kami berusaha untuk merealisasikan visi RTS Link," tambahnya.

 

RTS Link ialah rangkaian kereta api komuter sepanjang empat kilometer dengan stesen di Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands North, Singapura. - DagangNews.com