Pengeluaran getah asli susut 7.6% kepada 27,209 tan bagi Februari 2023 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluaran getah asli susut 7.6% kepada 27,209 tan bagi Februari 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 April - Pengeluaran getah asli Malaysia menurun sebanyak 7.6% kepada 27,209 tan pada Februari 2023 berbanding 29,451 tan pada Januari 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun pula menunjukkan penurunan 2.7% berbanding 27,950 tan pada Februari 2022.

 

Katanya, pengeluaran getah asli Malaysia pada Februari 2023 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil sebanyak 87.3% berbanding sektor estet, 12.7%.

 

“Jumlah stok getah asli pada Februari 2023 menurun 1.5% kepada 191,636 tan berbanding 194,563 tan pada Januari 2023. 

 

"Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 90.6% diikuti kilang pengguna getah sebanyak 9.3% dan estet getah pada 0.1%," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,393 tan pada Februari 2023 meningkat 18.4% daripada 40,867 tan pada Januari 2023.

 

Katanya, China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 56.9% daripada jumlah keseluruhan eksport pada Februari 2023 diikuti Jerman pada 7.3%, Turkiye sebanyak 3.6%, Amerika Syarikat (AS) (2.1%) dan Mesir (1.5%).

 

 

DOSM

 

 

Beliau berkata, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

 

“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM0.99 bilion pada Februari, meningkat 5.6% daripada RM0.93 bilion pada Januari 2023,” katanya.

 

Beliau berkata, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 7.3% kepada 538.55 sen sekilogram pada Februari 2023 daripada 502.05 sen sekilogram pada Januari 2023.

 

Manakala, sekerap meningkat 2.3% kepada 474.50 sen sekilogram pada Februari 2023 daripada 463.84 sen sekilogram pada Januari 2023, katanya.

 

“Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat 1.2% hingga 7.2%.

 

“Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) masing-masing menurun 0.7% (daripada AS$1.41 sekilogram kepada AS$1.40 sekilogram) dan 0.8% (daripada AS$1.63 sekilogram kepada AS$1.62 sekilogram)," katanya.

 

Berdasarkan laporan Malaysia Rubber Board Digest pada Februari 2023, sentimen negatif pasaran getah Kuala Lumpur didorong oleh penurunan dalam harga minyak mentah, jualan kereta China yang kurang menggalakkan serta kebimbangan terhadap peningkatan kadar faedah yang dikenakan oleh AS. - DagangNews.com