Pengecualian duti setem untuk PKS bagi aktiviti penggabungan & pengambilalihan | DagangNews Skip to main content

Pengecualian duti setem untuk PKS bagi aktiviti penggabungan & pengambilalihan

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diberi pengecualian duti setem bagi aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) sebagai tanda sokongan kerajaan susulan pendemik COVID-19.

SME Corp berkata, insentif yang diberi kepada PKS itu adalah usaha membina keupayaan perniagaan tempatan dan menyokong PKS yang terjejas.

"Insentif ini dikhususkan kepada PKS milik penuh rakyat Malaysia dalam semua sektor termasuk pembuatan, perkhidmatan, pertanian, perlombongan dan pengkuarian.

"Ia dapat membina keupayaan syarikat tempatan dan menggalakkan penggabungan antara dua entiti PKS atau pengambilalihan entiti PKS oleh entiti PKS lain kepada satu entiti perniagaan baharu yang lebih besar melalui surat cara dan kontrak undang-undang," jelas SME Corp dalam satu kenyataan hari ini.

Insentif pengecualian duti setem itu dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui SME Corp Malaysia.

Inisiatif bantuan itu juga turut mendapat kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Tambah SME Corp, usaha M&A dalam kalangan PKS dilihat dapat membantu memperkasa keupayaan PKS sekali gus mengelak daripada berlakunya kemerosotan syarikat akibat COVID-19.

Selain itu, aktiviti M&A turut memberi peluang kepada entiti perniagaan baharu untuk berkongsi dan mendapatkan pengetahuan serta kemahiran tambahan selain dapat mengurangkan kos.

"Pengecualian duti setem dalam aktiviti M&A ini merangkumi kos Kontrak atau Perjanjian untuk penjualan atau pajakan hartanah, Surat cara Pemindahan dan Memorandum Persefahaman; Pinjaman atau Perjanjian Pembiayaan dan Perjanjian Penyewaan Pertama.

"Insentif yang diumumkan di bawah PENJANA itu hanya layak dimohon oleh PKS yang melaksanakan aktiviti M&A dalam tempoh antara 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021. Permohonan perlu dihantar selewat-lewatnya pada 31 Julai 2021 melalui laman web rasmi SME Corp Malaysia," tambah SME Corp. - DagangNews.com