PUTRAJAYA 17 Mei - Kesemua Agensi Pekerjaan Swasta (APS) yang membuat permohonan penggajian pembantu rumah Indonesia disaran mematuhi penetapan kos pengambilan yang dipersetujui.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menegaskan, tindakan sewajarnya akan dikenakan kepada APS yang ingkar.
Beliau berkata, seperti mana yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Indonesia pada 1 April 2022, kos maksimum bagi pengambilan pembantu rumah Indonesia adalah RM15,000.
"Oleh yang demikian, pada 5 April 2022 saya telah memaklumkan bahawa hanya APS yang berdaftar di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 di bawah kategori lesen B atau C dan diperakui oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia yang dibenarkan untuk membuat permohonan pembantu rumah Indonesia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sebarang pertanyaan lanjut berhubung permohonan penggajian pembantu rumah Indonesia boleh dirujuk kepada Kementerian Sumber Manusia melalui talian 03-88862410 / 03-88862451 / 03-88862450v/ 03-88862352. - DagangNews.com








