KUALA LUMPUR 2 Nov - Celcom Axiata Bhd. memperkukuh kedudukannya dalam perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) melalui pengambilalihan Infront Consulting Group (M) Sdn. Bhd.
Pengambilalihan Infront telah memperkasa sasaran Celcom dalam perkhidmatan ICT, khususnya menerusi perkhidmatan pengkomputeran awan dan Rangkaian Terurus, yang bakal memenuhi keperluan perusahaan di Malaysia, dan juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Celcom juga akan memanfaatkan kepakaran Infront bagi menyediakan kit digital berasaskan pengkomputeran awan yang inovatif dan mampu dimiliki bagi membolehkan perniagaan mikro tempatan dan PKS melaksanakan transformasi digital bagi perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi berkata usaha mengambilalih Infront melengkapkan kekuatan Celcom sebagai sebuah syarikat penyedia kesalinghubungan dan penyelesaian bagi perniagaan di Malaysia.
Katanya, dengan memanfaatkan kekuatan kedua-dua syarikat bersama teknologi awan, PKS tidak lama lagi akan mempunyai akses kepada kit penyelesaian digital sehenti yang mampu dimiliki bagi semua fungsi perniagaan mereka.
“Tambahan pula, bersama teknologi 5G yang mendatang, Celcom akan terus bekerjasama dengan pemain digital yang sesuai dan melabur bagi mendapatkan solusi dan perkhidmatan digital yang terbaik.
"Sebagai mendokong peranan kami sebagai pemangkin digital, kami ingin membantu peniaga-peniaga tempatan berkembang secara digital dan membolehkan mereka beroperasi dengan mampan dalam norma baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Infront merupakan sebuah pakar perunding Pengkomputeran Awan Microsoft, berstatus 'Gold Partner' dalam platform dan produktiviti awan, serta diiktiraf sebagai Microsoft Managed Partner serantau.
Berikutan kerjasama terkini Celcom bersama Microsoft pengkomputeran awan Azure, pengambilalihan Infront akan membuka peluang bagi Celcom untuk bersaing secara efektif dalam penawaran perkhidmatan dan penyelesaian Pengkomputeran Awan Azure dalam pasaran Malaysia.
Ia seterusnya akan diperkukuhkan oleh penawaran perkhidmatan InSuite oleh Infront, yang menyediakan perkakasan bagi mempercekapkan operasi, seterusnya membantu pertumbuhan perniagaan yang ketara.
Sementara itu, Pengarah Urusan Infront Consulting Group (M) Sdn. Bhd., Raymond Chou percaya kerjasama ini akan membuka laluan baharu untuk membawakan penyelesaian yang lebih bermakna dan juga menambahbaik perniagaan dalam pasaran.
"Semua perniagaan perlu memanfaatkan teknologi bagi melonjak ke hadapan dalam era baharu perdagangan, sejajar dengan matlamat Celcom dan Infront untuk mempertingkat kecekapan bagi pertumbuhan perniagaan kepada pelanggan kami, yang menjadi faktor utama dalam kerjasama ini," katanya.
Infront ditubuhkan pada 2003 sebagai sebuah Pakar Pengurusan Sistem dan Maya, dengan fokus terhadap keupayaan dan kepakaran teknologi Awan sejak 2015.
Syarikat perundingan teknologi tersebut dibina dengan 3 perkhidmatan utama iaitu perundingan penggunaan teknologi awan, perkhidmatan aplikasi dan keselamatan terurus, dan pembangunan Kecerdasan Buatan (AI).
Infront telah berada di Malaysia dan Singapura bersama 25 kakitangan tetap (tidak termasuk 4 kakitangan luar dari Sri Lanka) di mana 16 daripada mereka mempunyai persijilan MSFT sejak 31 Mac 2021.
Melalui pengambilalihan ini, Infront akan menyediakan sistem integrasi teknikal yang mendalam, pembangunan, dan keupayaan jualan kepada Celcom, dan membantu untuk membina kekuatan bagi pasaran tempatan, dalam perkhidmatan dan penyelesaian pengkomputeran awan. - DagangNews.com








