Pengambilalihan 18.87% kepentingan Ranhill Utilities merupakan pelaburan strategik YTL Power – MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengambilalihan 18.87% kepentingan Ranhill Utilities merupakan pelaburan strategik YTL Power – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Nov - Langkah YTL Power International Bhd mengambil alih 18.87% kepentingan dalam Ranhill Utilities Bhd merupakan pelaburan strategik bagi YTL Power, menurut MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa Ranhill memiliki aset yang baik seperti hak eksklusifnya untuk bekalan air Johor dan terlibat dalam sektor tenaga Sabah.

 

“Ranhill telah membina penglibatan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui loji solar berskala besar 4 (LSS4) 50MW (megawatt) yang akan beroperasi tidak lama lagi dan secara aktif sedang meneroka peluang mengembangkan kehadirannya di ruang ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

YTL Power dilaporkan telah muncul sebagai pemegang saham utama Ranhill selepas memperoleh 243.33 juta saham dalam syarikat tersebut.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: YTL Power muncul pemegang saham utama Ranhill Utilities

 

 

Meskipun tiada butiran lanjut diumumkan, MIDF Research berkata ia difahamkan bahawa 18.87% kepentingan itu diperoleh daripada Cheval Infrastructure, yang seterusnya mungkin bukan lagi pemegang saham Ranhill.

 

Di samping itu, firma tersebut berkata YTL Power juga membina kehadirannya di Johor dan RE menerusi pusat data 72MW (Fasa 1) dan ladang solar 500MW di Kulai pada masa akan datang.

 

Tambahnya, YTL Power juga telah menunjukkan minat untuk mengambil bahagian dalam eksport RE ke Singapura, sementara menunggu rangka kerja eksport RE dimuktamadkan oleh kerajaan.

 

“Memandangkan pegangan YTL Power masih di bawah 20%, kami tidak melihat sebarang kesan kepada pendapatan kumpulan ketika ini, melainkan YTL Power berhasrat meningkatkan lagi pegangannya dan jika ia merancang sebarang usaha niaga strategik dengan Ranhill,” katanya.

 

Mengulas mengenai kos pembelian kepentingan tersebut, MIDF Research berkata berdasarkan harga penutup pada 58 sen sesaham semalam, ia boleh mencecah RM141 juta, yang hampir tidak menjejas kunci kira-kira YTL Power.

 

"Kemasukan utiliti multinasional yang besar seperti YTL Power ke dalam Ranhill menunjukkan nilai syarikat terbabit," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ bagi kedua-dua YTL Power dan Ranhill, dengan harga sasaran (TP) masing-masing pada RM2.45 dan 80 sen sesaham.

 

Pada pukul 3:55 petang ini, saham Ranhill telah menokok 14.5 sen atau 25% kepada 72.5 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM940.2 juta.

 

Sementara itu, saham YTL Power menokok 5 sen atau 2.4% kepada RM2.16, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM17.6 bilion.  - DagangNews.com