Penebusan mata ganjaran Mesra diperluaskan ke Petronas Shop menerusi aplikasi Setel | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penebusan mata ganjaran Mesra diperluaskan ke Petronas Shop menerusi aplikasi Setel

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Sept - Pelanggan Petronas Shop kini boleh menggunakan mata ganjaran Mesra sebagai kaedah pembayaran baharu apabila membeli-belah secara dalam talian bagi barangan dan pakaian gaya hidup aktif Petronas.

 

Menerusi aplikasi Setel, ciri terbaru ini merupakan penambahan kepada Program Kesetiaan Mesra sedia ada, yang mana pelanggan diberi mata ganjaran bukan sekadar untuk mengisi petrol di stesen Petronas dan membuat pembelian di Kedai Mesra. 

 

Ini merupakan penambahbaikan yang dinanti-nanti bagi pelanggan sedia ada yang menggunakan Dompet Setel untuk mengisi petrol, meletak kereta, mengecas kenderaan elektrik (EV), melanggan takaful/insurans motor, pembaharuan cukai jalan, bantuan auto 24/7, pembelian dan banyak lagi di seluruh stesen minyak Petronas, rakan-rakan runcit dan kedai-kedai dalam talian.

 

Inisiatif ini diselaraskan dengan misi Setel sebagai platform mudah alih yang bersasar untuk memudahkan pelanggan dengan inovasi mobiliti yang lebih baik dan inklusif, menerusi penyediaan pilihan pembayaran baharu bagi pelanggan untuk menggunakan mata ganjaran Mesra mereka untuk membeli-belah bagi barangan Petronas menerusi aplikasi Setel.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Shop, Faizal Sulaiman berkata, pihaknya berharap kaedah pembayaran baharu ini akan membolehkan pelanggan menikmati ekosistem penawaran Setel yang holistik.

 

"Mereka boleh menebus dan membayar dengan mata ganjaran Mesra untuk produk dan perkhidmatan kami, sementara kami meneruskan usaha menyampaikan pilihan barangan dalam segmen gaya hidup aktif yang mampu dibeli dan diperoleh semua," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Pelanggan yang menggunakan mata ganjaran Mesra semasa membuat pembelian di Petronas Shop hanya perlu memilih mata ganjaran Mesra sebagai cara pembayaran dan langkah ini boleh ditambah nilai dengan pembayaran talian, sekiranya baki mata ganjaran mereka tidak mencukupi.

 

 

setel

 

 

Sebagai usaha untuk memberi ganjaran kepada pelanggan setia, Petronas Shop memperkenalkan tawaran istimewa untuk ahli Mesra peringkat 'Junior ke Hero' di aplikasi Setel pada awal tahun ini. 

 

Para pelanggan tersebut dapat memperoleh akses eksklusif dan diskaun bergantung pada kategori keahlian mereka. Langkah ini membolehkan pelanggan menikmati lebih manfaat melalui penggunaan kerap aplikasi Setel bagi jangka masa panjang.

 

Bersempena dengan pelancaran ini, Petronas Shop akan mengadakan peraduan yang mana 10 pelanggan pertama menebus sebanyak 30,000 mata ganjaran Mesra di Petronas Shop berpeluang memenangi 10,000 mata ganjaran Mesra tambahan. Peraduan ini berlangsung dari 8 September hingga 17 September 2023.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai Petronas Shop di Setel, Program Kesetiaan Mesra dan peraduan tebus mata ganjaran Mesra, sila layari https://www.setel.com/PETRONAS-Shop. - DagangNews.com