Pendekatan holistik kukuhkan kedudukan bank hadapi persaingan daripada perbankan digital | DagangNews Skip to main content

Pendekatan holistik kukuhkan kedudukan bank hadapi persaingan daripada perbankan digital

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Mac - Persaingan yang dihadapi sektor perbankan konvensioal ekoran penyertaan pemain baharu dalam ruang perbankan digital dijangka terhad memandangkan ia tertumpu kepada segmen yang kurang diberi tumpuan seperti dinyatakan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini, demikian menurut RHB Research. 

 

Firma itu juga tidak melihat pemberian lesen perbankan digital sebagai gangguan kepada bank konvensional sedia ada, di sebalik jangkaan berlakunya hakisan berterusan pada bahagian pembayaran perniagaan - yang tidak dijangka kerana pengendalian urus niaga berkenaan sememangnya tidak menguntungkan. 

 

"Malah, kami juga tidak menjangkakan kesan serta-merta daripada pemberian lesen perbankan digital ini (kemungkinan akhir suku pertama).

 

"Ini kerana sebahagian daripada mereka akan mula menawarkan perniagaan perbankan digital masing-masing menjelang akhir 2022," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada Februari lalu, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pihaknya kini berada di peringkat akhir dalam menilai permohonan untuk lesen bank digital dan menyasarkan untuk mengumumkan pemohon yang layak pada penerbitan Laporan Tahunan BNM akhir bulan depan (Mac).

 

BNM menerima 29 permohonan dan bank pusat itu bercadang untuk memberikan lesen bank itu maksimum kepada 5 sahaja.

 

Bank pusat juga mahu bank digital menawarkan produk dan perkhidmatan yang relevan kepada segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan dan tidak mendapat perkhidmatan kewangan supaya lebih ramai orang dan usahawan dapat memiliki aset dengan lebih baik dan menyimpan untuk masa depan atau mengembangkan perniagaan mereka.

 

Susulan itu, RHB Research berkata, bank-bank di Malaysia boleh memberi fokus untuk melaksanakan pendekatan yang lebih holistik dalam memperkukuhkan pendigitalan dengan menangani segmen pengguna yang mahir teknologi.

 

"Bank-bank juga boleh mengambil langkah tambahan menjangkaui bukan sahaja pasaran pengguna, tetapi dengan meluaskan tawaran digital kepada syarikat dalam segmen komersial, yang seterusnya menarik perniagaan baharu.

 

"Ini secara keseluruhan, menyaksikan bank berada pada kedudukan yang baik untuk menangkis potensi persaingan daripada bank digital baharu," jelasnya.

 

Mengenai prospek penggabungan dan pengambilalihan (M&A), firma itu berpendapat bank-bank yang berskala besar kurang berminat untuk melaksanakan sebarang langkah pengggabungan buat masa ini, terutama setelah mengambil kira kitaran ekonomi dan sinergi hasil terhad yang boleh direalisasikan daripada operasi yang sama.

 

"Bagaimanapun, kami berpendapat, terdapat peluang dalam segmen perbankan Islam. Pada pandangan kami, mungkin terdapat beberapa penyatuan dalam ruang perbankan Islam untuk menambah asas aset, dan untuk mencapai hasrat bank pusat bagi memacu pembiayaan syariah," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan dengan pilihan utamanya ialah Hong Leong Bank Bhd., Malayan Banking Bhd. (Maybank) dan AMMB Holdings Bhd.

 

Ia memberi saranan 'beli' terhadap ketiga-tiga bank ini dengan harga sasaran pada RM23.50 bagi Hong Leong Bank diikuti RM10.40 (Maybank) dan RM4 (AMMB). - DagangNews.com