Pendapatan YTL Power mampan sehingga FY24 didorong sumbangan PowerSeraya dan Wessex – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan YTL Power mampan sehingga FY24 didorong sumbangan PowerSeraya dan Wessex – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 April - Pemulihan pendapatan YTL Power International Bhd boleh bertahan sehingga tahun kewangan 2024 (FY24), kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu percaya keuntungan harga saham kira-kira 30% sejak keputusan suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) telah didorong terutamanya oleh jangkaan yang semakin meningkat terhadap pemulihan pendapatan di PowerSeraya dan Wessex.

 

Selain itu, ia turut didorong sedikit sebanyak oleh potensi pertambahan projek baharu seperti pusat-pusat data dan Attarat Power Company (APCO).

 

Mengulas lanjut mengenai PowerSeraya, Maybank IB berkata anak syarikat YTL Power itu telah mengekalkan keuntungan sebelum cukai (PBT) pada  kira-kira S$90 juta setiap suku pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) berbanding AS$60 juta pada 4QFY22.

 

“Kami percaya keuntungan yang bertambah baik ini disebabkan terutamanya oleh sumbangan Tuaspring yang telah diambil alih pada 4QFY22, menyumbang kepada peningkatan kapasiti sebanyak 16%, dan dengan itu mampan,” katanya dalam nota hari ini.

 

Sementara itu, Wessex, yang telah dilanda lonjakan perbelanjaan operasi akibat inflasi dan faedah daripada bon berkaitan indeks pada Mac tahun kewangan 2023 (FY23), akan menyaksikan keuntungan pulih setelah mengumumkan kenaikan tarif borong kira-kira 9% untuk Mac tahun kewangan 2024 (FY24).

 

Manakala projek Green Data Centre Park di Kulai, Johor dengan kos kira-kira RM15 bilion akan menempatkan pusat data berkuasa solar berkapasiti 500MW (megawatt) apabila ia dibangunkan sepenuhnya.

 

Pembinaan Fasa 1 (72MW berharga MYR1.5 bilion, penyewa utama Sea Ltd) telah bermula pada separuh kedua tahun 2022 dan disasarkan siap pada suku pertama 2024, di mana firma itu menganggarkan Fasa 1 boleh menambah kira-kira 5sen sesaham.

 

Di samping itu, YTL Power juga telah bekerjasama dengan GDS Holdings untuk membangunkan bersama kapasiti 168MW.

 

“Kami menyemak unjuran keuntungan bersih FY23 menyusut 3%, manakala FY24 dan FY25 masing-masing meningkat 16% dan 27% bagi mencerminkan jangkaan pemulihan pendapatan lanjutan untuk PowerSeraya dan Wessex,” tambahnya.

 

Oleh itu, firma itu mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) meningkat 33% kepada RM1.00 daripada 75sen. -DagangNews.com