Pendapatan Time dotCom pada 1HFY24 naik 10.4% didorong permintaan data berterusan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Time dotCom pada 1HFY24 naik 10.4% didorong permintaan data berterusan

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Ogos - TIME dotCom (Time) mencatatkan pendapatan sebanyak RM836.3 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24), 10.4% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.

 

Menurut Time, peningkatan itu hasil daripada permintaan yang berterusan untuk tawaran data Kumpulan yang dipacu terutamanya oleh segmen pelanggan Runcit dan Borong.

 

"Kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai yang telah disatukan sebanyak RM212.1 juta daripada operasi yang diteruskan untuk 1H 2024. 

 

"Ini boleh dikaitkan dengan peningkatan pendapatan yang membawa kepada prestasi operasi yang lebih kukuh, pengurangan dalam hapus-kira dan kerugian, serta pendapatan faedah yang lebih tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kumpulan telah mengisytiharkan dividen khas interim yang dikecualikan cukai (tahap tunggal) sebanyak 18.93 sen setiap saham biasa, dengan jumlah pembayaran kira-kira RM350 juta. Dividen ini akan dibayar pada 25 September 2024.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Time, Afzal Abdul Rahim berkata, fokus Kumpulan kekal pada memperluas liputan rangkaian untuk mencapai dan memberikan pengalaman perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. 

 

Menurutnya, Kumpulan akan terus memantau pasaran dengan teliti supaya apat memenuhi permintaan pasaran yang berkembang.

 

"Kumpulan terus melabur dalam rangkaiannya dan komited untuk memperluas jejak liputannya. 

 

"Pada masa yang sama, Kumpulan sedang mengoptimumkan operasinya dan meningkatkan pendekatannya untuk menyampaikan produk dan perkhidmatan yang terkemuka di pasaran merentasi semua segmen pelanggannya," ujarnya.- DagangNews.com