Pendapatan SNS Network diramal berkembang pada CAGR sebanyak 39% didorong jualan pelayan AI | DagangNews Skip to main content

Pendapatan SNS Network diramal berkembang pada CAGR sebanyak 39% didorong jualan pelayan AI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 April - Rakuten Trade meramalkan pendapatan SNS Network Technology Bhd pada FY24 hingga FY27 berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 39% didorong jualan pelayan (server) kecerdasan buatan (AI) dan perkembangan perniagaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sedia ada.

 

Katanya, ia juga disokong kitaran menaik dari segi penggunaan peranti pengguna dan transformasi digital berterusan dalam sektor pendidikan serta perdagangan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, laporan Juwai IQI menunjukkan bahawa Malaysia merupakan pasaran paling pesat berkembang dan mengunjurkan pertumbuhan 600% dari segi pengembangan pusat data dipacu AI dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Rakuten Trade berkata, menyedari potensi AI merentasi pelbagai sektor di Malaysia, SNS meletakkan dirinya sebagai fasilitator penggunaan AI.

 

"Bertindak sebagai penghubung antara pengeluar pelayan dan pembeli, SNS memainkan peranan penting dalam membolehkan integrasi AI di Malaysia.

 

"Dengan purata harga jualan RM1.5 juta seunit dan margin keuntungan kasar sebanyak 15%, syarikat menjangkakan penjanaan hasil yang kukuh.

 

"Sehingga 4QFY24, kumpulan itu telah menjual 21 unit pelayan AI, dengan sasaran untuk menjual 300 unit pada FY25," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Malaysia kini menjadi tuan rumah kepada lebih 40 pusat data, setiap satu dengan kapasiti antara 100MW hingga 150MW.

 

Bagaimanapun, projek pusat data yang akan datang menunjukkan jangkaan kapasiti tambahan sebanyak 1,400MW dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang didorong oleh kos tanah dan tenaga yang rendah.

 

Firma penyelidikan itu berkata,dengan menawarkan rangkaian perkhidmatan komprehensif, termasuk pengkomputeran awan, analisis data dan pengoptimuman AI, kumpulan itu berjaya memenuhi pelbagai keperluan perniagaan.

 

Katanya, kerjasamanya yang terkini dengan Supermicro sejajar dengan rancangan pengembangan syarikat itu di Johor, mengukuhkan lagi kedudukan SNS dalam pasaran.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 54 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com