KUALA LUMPUR 15 Julai - Pendapatan sektor teknologi dijangka terus meningkat tahun ke tahun (YoY) dan separuh tahun ke separuh tahun (HoH) pada separuh kedua 2024 (2H24), yang akan memastikan permintaan untuk sektor ini terus kukuh.
RHB Investment Bank berkata, pasaran menjangkakan pertumbuhan pesat sebanyak 97% bagi tahun kewangan 2024 (FY24) dipacu oleh jangkaan pemulihan sektor daripada asas yang rendah.
"Mengikut data Persatuan Industri Semikonduktor, jualan semikonduktor pada peringkat dunia masih lagi menunjukkan kadar pemulihan berterusan dengan pertumbuhan 16% untuk 2024F dan 12.5% pada tahun 2025.
"Fasa kenaikan baharu ini sekarang diperkuat oleh segmen litar bersepadu (IC) logik, khusus dalam bahagian berkaitan pelayan AI dan litar bersepadu pengurusan tenaga atau PMIC, pemulihan dalam telefon pintar dan memori, dan China secara amnya.
"Seterusnya, tanda awal pemulihan dalam ruang alat uji automatik (ATE) dan keuntungan yang direkodkan dalam semikonduktor bahagian hadapan, memperkukuh lagi pendirian kami bahawa sektor semakin pulih dengan rancaknya pada 2H24 dan secara meluasnya pada 2025 apabila kitaran penggantian berlangsung," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Jelas RHB Investment, untuk segmen bukan semikonduktor, prospek pertumbuhan daripada pusat data, perbelanjaan prasarana, pembaharuan dan penaiktarafan dan pengembangan dari segi IT untuk ekonomi digital seharusnya menyaksikan permintaan terus mengukuh dan lebih banyak projek dapat dilancarkan.
"Berdasarkan bayangan pihak pengurusan, kami mengambil pandangan yang lebih optimis walaupun prospeknya tidak sekata secara keseluruhannya dengan syarikat mengalami pemulihan pengeluaran khususnya di China, kemunculan peluang dan pelanggan baharu daripada strategi China Plus One, dan Strategi One Plus China memandangkan banyak syarikat China mula beralih ke pasaran di luar China," jelasnya.
Sementara itu, kata firma penyelidikan itu, meskipun kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini boleh mendatangkan gangguan pada rantaian bekalan, Malaysia diramalkan akan menerima manfaat daripada keadaan ini.
"Tambahan lagi, Pelan Strategik Semikonduktor Nasional (NSS) yang diumumkan oleh Kerajaan Malaysia, dengan peruntukan RM25 bilion, akan membawa masuk pelaburan langsung tempatan dan asing yang lebih banyak.
"Strategi ini dirangka untuk menjalin lebih banyak kerjasama, menaiki rantaian nilai dan menyokong pertumbuhan sektor tempatan dalam jangka Panjang," ujarnya.
RHB Investment juga mengekalkan saranan Overweright dengan Malaysian Pacific Industries (MPI), Pentamaster Corporation (PENTA) dan CTOS Digital (CTOS) dalam senarai syarikat pilihan utama.
"Indeks Teknologi Bursa Malaysia menyaksikan trend prestasi semakin menaik, selari dengan andaian kami mengenai keadaan sektor yang kembali memaparkan pemulihan perolehan selain peralihannya kepada fasa kenaikan semikonduktor baharu," katanya.- DagangNews.com








