KUALA LUMPUR 16 Okt - Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (DPIA) menjangkakan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan berkembang pada tahun hadapan berdasarkan pengumuman Belanjawan 2024 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Presidennya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, menerusi pembentangan belanjawan tersebut, ia memberi perhatian kepada golongan PKS yang mewakili sebahagian besar perniagaan di negara ini.
Jelasnya, bagi merancakkan aktiviti dagang PKS, RM600 juta daripada RM8 bilion dana pinjaman di bawah Bank Negara Malaysia akan diperuntuk untuk menyokong syarikat PKS.
''RM600 juta ini dikhususkan antaranya untuk membantu usahawan mikro dan usahawan berpendapatan rendah.
"DPIA melihat insiatif di bawah hala tuju Malaysia Madani mampu menggerak aktiviti dagang PKS pada tahun depan dengan pertumbuhan pendapatan yang lebih baik.
"Kita menyokong segala usaha yang dilakukan Perdana Menteri dalam menstruktur semula internal ekonomi PKS ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Ujar Sohaimi, bagi menyokong perkara berkenaan kerajaan menyediakan RM1.4 bilion, pinjaman mikro BSN.

Katanya, pinjaman itu untuk membantu menyediakan modal perniagaan, pembelian peralatan, premis serta pemasaran kepada penjaja dan pengusaha kecil-kecilan.
Dalam pada itu, Sohaimi berkata, Anwar turut memberi peruntukan khas sebanyak RM720 juta bagi menggalakkan golongan wanita dan anak muda menceburi bidang perniagaan.
"Usaha ini akan memperkasa perniagaan golongan wanita dan anak muda yang memerlukan suntikan modal dalam perniagaan masing-masing," katanya.
Menurut beliau, usaha kerajaan secara holistik turut memperuntukkan RM330 juta kemudahan pembiayaan TEKUN kepada peniaga kecil, usahawan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.
"RM30 juta daripadanya peruntukan ini turut menyokong membiayai perniagaan diusahakan masyarakat India.
"Dengan pelbagai sasaran golongan perniagan ini diharap pada tahun depan daya saing ini membantu meningkat pendapatan negara," katanya. - DagangNews.com








