KUALA LUMPUR 13 Ogos - Peralihan tanggungjawab perdagangan gas setelah Petroleum Sarawak Bhd (Petros) menjadi aggregator gas tunggal di Sarawak bakal mempengaruhi sumber pendapatan dan aliran tunai bebas Petronas walaupun kesannya masih belum dapat diukur ketika ini.
Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), pelantikan Petros sebagai aggregator gas tunggal bermula 1 Julai 2024 menandakan perubahan yang ketara dalam kawalan sumber gas asli Sarawak daripada Petronas.
"Ini juga bermakna Petros akan bertanggungjawab untuk membeli gas daripada semua pengeluar huluan di Sarawak; menjual gas kepada semua pembeli hiliran, termasuk loji pemprosesan gas asli cecair (LNG) dan menguruskan pengedaran dan bekalan gas asli dalam Sarawak.
"Kami percaya peralihan tanggungjawab perdagangan gas ini mungkin akan mempengaruhi sumber pendapatan dan aliran tunai bebas Petronas, walaupun kami belum dapat mengukur kesannya dengan tepat buat masa ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Capex 1Q Petronas meningkat 2% bagi kemudahan LNG di Sabah, Sarawak

Firma penyelidikan itu juga percaya penangguhan perbelanjaan modal (capex) Petronas adalah suatu kemungkinan memandangkan sebahagian besar daripada hasil dagangannya telah hilang.
Oleh itu, kata Maybank IB, kerja-kerja penerokaan dan pengeluaran (E&P) yang akan datang atau projek pembangunan mungkin akan “ditangguhkan” sehingga penyelesaian dicapai bersama antara Petronas dan Petros.
Menurutnya, berdasarkan laporan berita, kedua-dua pihak kini sedang dalam perundingan untuk mencapai "penyelesaian bersama" terhadap isu yang sedang berkembang ini.
"Dalam senario penangguhan capex, kami menjangkakan ini akan terlebih dahulu memberi kesan kepada nama-nama penyedia perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) dengan pendedahan dalam subsegmen penerokaan - sebelum mempengaruhi subsegmen pembangunan, pengeluaran, dan pelupusan.
"Mereka yang terjejas dalam kategori ini termasuk i) penyedia kapal luar pesisir (OSV); ii) kerja-kerja penyambung dan pentauliahan (HUC); dan iii) fabrikasi luar pesisir yang berpotensi memberi impak kepada nama-nama seperti Dayang Enterprise, Perdana Petroleum, Icon Offshore, Sealink, Marine & General, Carimin, MMHE dan Petra Energy," jelasnya.
Kata Maybank IB, walaupun kebanyakan nama-nama ini menunjukkan momentum pendapatan yang kuat sekarang, potensi perbelanjaan capex Petronas yang lebih rendah mungkin membawa kepada pengurangan aktiviti/permintaan/kadar penyediaan perkhidmatan, mungkin seawal 2H24-2025E.
Katanya, ini yang akan mengakibatkan pertumbuhan yang lebih perlahan/penyesuaian dalam jangkaan pertumbuhan untuk nama-nama OGSE tempatan ini dalam 2024-2025E.
"Memandangkan perkembangan yang sedang berlaku ini, kami menasihatkan pelabur untuk memilih nama-nama yang lebih defensif dan stabil dalam: i) ruang midstream; dan ii) nama-nama OGSE dengan pendedahan dan keupayaan serantau seperti Dialog dan Wasco.
"Sementara itu, kami juga menaikkan penilaian Wasco kepada BELI (daripada Hold) dengan harga sasaran yang tidak berubah sebanyak RM1.55," ujarnya. - DagangNews.com








