KUALA LUMPUR 7 Ogos - Pendapatan Hup Seng Industries Berhad bagi suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) susut 2% kepada RM80.24 juta berbanding RM81.54 juta setahun sebelumnya.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, pengilang biskut dan minuman itu berkata, pasaran eksport turun 4% atau RM800,000 pada suku semasa berbanding tempoh yang sama tahun lalu terutamanya dari Thailand dan Arab Saudi.
"Pasaran domestik juga mengalami penurunan sedikit sebanyak 1% atau RM0.5 juta berbanding tempoh yang sama tahun lepas, terutamanya dari Sabah dan Sarawak," katanya hari ini.
Meski pun begitu, untung bersih Hup Seng meningkat kepada RM9.03 juta pada 2QFY24 berbanding RM8.7 juta pada 2QFY23.
Katanya, keuntungan sebelum cukai pula sebanyak RM12.15 juta berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM11.64 juta dalam suku tahun sebelumnya, meningkat kira-kira 4% hasil daripada kos input yang lebih rendah.
"Pendapatan Kumpulan untuk enam bulan yang berakhir pada 30 Jun 2024 telah meningkat sebanyak 3% kepada RM173.8 juta daripada RM167.93 juta berbanding tempoh yang sama tahun lepas, terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam jumlah jualan.
"Jualan domestik meningkat sebanyak 2% atau RM3.2 juta untuk semua saluran. Jualan eksport meningkat sebanyak 8% atau kira-kira RM2.7 juta terutamanya dari Myanmar, Indonesia, dan Singapura.
ARTIKEL BERKAITAN: Syarikat biskut Hup Seng raih manfaat apabila pengguna Malaysia beralih selera kepada jenama tempatan

"Keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM30,812,000 berbanding tempoh yang sama tahun lepas sebanyak RM24,727,000, meningkat kira-kira 25%. Peningkatan keuntungan sebelum cukai ini adalah terutamanya disebabkan oleh peningkatan sumbangan hasil daripada kos input bahan utama yang lebih rendah," ujarnya.
Menyentuh soal prospek, Hup Seng berkata, walaupun prestasi separuh pertama Kumpulan adalah menggalakkan, namun pihak tetap berhati-hati memandangkan sifat industri yang sangat kompetitif.
"Kumpulan akan terus berwaspada dan fleksibel terhadap perubahan pasaran. Kami menjangkakan cabaran dengan kenaikan kos bahan mentah seperti serbuk koko dan serbuk susu.
"Namun begitu, Kumpulan akan memberi tumpuan kepada penyelarasan operasi dan meningkatkan kesedaran jenama serta terus mengekalkan dan meningkatkan kualiti produk. Kumpulan juga akan menumpukan usaha untuk memperkukuh pasaran domestik dan eksport serta berusaha untuk memastikan bekalan produk yang stabil untuk memenuhi keperluan pengguna," ujarnya. - DagangNews.com








