Pendapatan hartanah kukuh imbangi kelembapan jualan runcit, Maybank IB kekalkan saranan 'Beli' Aeon | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan hartanah kukuh imbangi kelembapan jualan runcit, Maybank IB kekalkan saranan 'Beli' Aeon

Gambar Aeon Mall Bandar Baru Klang
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Sept - Aeon Co (M) Bhd menyaksikan sumbangan pendapatan segmen pengurusan hartanah (PMS) yang kukuh walaupun jualan runcit agak lembap setakat ini, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, berasarkan asas tersebut, pihaknya mengekalkan unjuran pertumbuhan pendapatan Aeon bagi tahun kewangan (FY24) sebanyak 5%.

 

"Strategi Aeon untuk mempromosikan jumlah pengunjung pusat beli-belah dengan acara pemasaran yang inovatif telah berjaya diterjemahkan kepada jualan penyewa yang lebih tinggi.

 

"Kami menjangkakan trend ini akan berterusan seiring dengan rancangan pengubahsuaian dan pembukaan pusat beli-belah baharu dalam tempoh sederhana," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sehubungan itu, Maybank IB mengekalkan anggaran keuntungan dan harga sasaran (TP) Aeon pada RM1.86 sesaham dengan mengekalkan saranan 'Beli'.

 

"Sasaran kadar penghunian pusat beli-belah Aeon kekal pada 94% untuk FY24 (1H24: 92.5%). Jualan penyewa pada 1H24 telah meningkat sebanyak +9% YoY yang didorong oleh kategori makanan & minuman, kedai khusus, dan perniagaan hiburan. 

 

"Proses pembaharuan dan pengubahsuaian pusat beli-belah Aeon juga berjalan lancar dengan pembukaan semula Aeon Bandar Puchong pada 30 Ogos 2024, dan pusat beli-belah Aeon Tebrau City & Bukit Indah dijadualkan selesai pada suku keempat 2024 (4Q24)," jelasnya.

 

Maybank IB berkata, berdasarkan rekod, pusat beli-belah yang baharu diubah suai biasanya mengalami peningkatan jualan sekitar 15%.

 

Sementara itu, kata firma penyelidikan tersebut, momentum jualan runcit Aeon diramal perlahan pada suku tahun ketiga 2024 sebelum menjadi lebih baik kemudiannya.

 

Jelasnya, ini berikutan suku ketiga tidak mempunyai perayaan besar yang mampu memacu jualan.

 

"Aeon berharap cuti sekolah yang akan datang pada September 2024 boleh membantu momentum jualan sebelum perbelanjaan pengguna meningkat menjelang tempoh cuti akhir tahun. 

 

"Pengurusan menyasarkan untuk mencapai margin EBIT sekitar 2.5% untuk segmen runcit dan sekurang-kurangnya 38% untuk segmen PMS pada FY24, selaras dengan andaian model kami (Runcit: 2.3% PMS: 38%)," ujarnya.

 

Pada minggu lalu, Aeon mengumumkan keuntungan bersih lebih tinggi bagi 1HFY24, dengan  merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM85.2 juta naik 25% daripada RM68.4 juta setahun lalu.

 

Pencapaian pendapatan untuk tempoh yang sama juga meningkat sebanyak 2%, daripada RM2.139 bilion kepada RM2.188 bilion. - DagangNews.com