KUALA LUMPUR 20 Julai - Pendapatan Farm Fresh Berhad dalam separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (2HFY24) dijangka lebih kukuh selepas 1HFY24 yang mencabar, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Menurut firma penyelidikan itu, cabaran kos dijangka berterusan dalam tempoh terdekat tetapi kestabilan permintaan produk, kenaikan harga produk dan kos bahan mentah yang berkurangan pada 2HFY24 akan memacu pendapatan yang lebih kukuh.
“Kami menjangkakan pendapatan Farm Fresh dalam melemah pada 1HFY24, dengan sebahagian besar penjimatan kos serbuk susu penuh dapat dicapai dalam 2HFY24.
“Pelancaran produk baharu kumpulan dan pengembangan serantau ke Filipina berada di landasan yang betul kerana ia menyasarkan untuk memulakan kilang pemprosesannya pada Ogos 2023
“Kumpulan itu merancang untuk melancarkan varian susu tepung untuk kanak-kanak pada Oktober 2023 dan memperkenalkan produk aiskrim berbungkusnya untuk pengguna domestik pada Januari 2024,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Maybank IB berpendapat bahawa purata harga jualan (ASP) yang susut hanya sekitar 4% pada 1HFY23 sebahagian besarnya adalah disebabkan lonjakan permintaan, diburukkan lagi oleh pengeluaran susu yang lebih rendah akibat kemarau berpanjangan dan kekurangan buruh di Australia.
Bagi mengurangkan ASP harga di peringkat ladang (farmgate) yang sedang meningkat, firma itu berkata Farm Fresh menyasarkan untuk mengurangkan pergantungan kepada susu mentah daripada petani pihak ketiga dengan meningkatkan pengeluaran susu huluannya dan meningkatkan nisbah penyumberan susu dalaman:luaran kepada 69:31 pada FY24, daripada 48:51 dalam FY23.
Firma itu menyemak turun anggaran pendapatan Farm Fresh bagi FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 21% dan 11% bagi mencerminkan struktur kos bahan mentah semasa kumpulan itu, tetapi mengekalkan FY26.
Oleh itu, Maybank IB mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM1.20 sesaham.
Saham Farm Fresh telah mencecah paras terendah kepada RM1.14 pada 4 Julai akibat kegusaran pasaran terhadap kekangan bekalan dalam industri susu Australia.
Pada waktu penulisan, saham Farm Fresh didagangkan pada RM1.09, susut 1 sen atau 0.9% hari ini dengan modal pasarannya RM2 bilion. - DagangNews.com








