KUALA LUMPUR 1 Mac - RHB Investment menjangkakan penyedia rumusan ICT bersepadu berkaitan keselamatan terkemuka Malaysia, Datasonic Group Berhad mencatat prestasi lebih kukuh dalam suku keempat tahun kewangan 2024 (4QFY24).
Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan kumpulan pada suku berakhir 31 Mac 2024 tersebut bakal meningkat didorong oleh permintaan kukuh yang berterusan untuk rumusan pasport; tempahan tertunggak untuk MyKad berikutan lanjutan kontrak yang diperoleh pada Januari; dan kenaikan harga bagi beberapa lanjutan kontrak.
Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024 (9MFY24), permintaan tinggi untuk rumusan pasport dan kad pintar telah memacu pertumbuhan pendapatan kumpulan sebanyak 5.3% kepada RM252.6 juta berbanding RM239.8 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Datasonic catat perolehan tertinggi berjumlah RM252.6 juta pada 9MFY23
Menurut RHB Investment, buku pesanan tertunggak kumpulan tersebut kini bernilai RM409 juta berikutan lanjutan kontrak yang diperoleh bulan lepas, memberikan nisbah perlindungan 1.2 kali ganda.
“Pihak pengurusan kekal yakin dapat merangkul kontrak jangka panjang untuk rumusan kad pengenalan dan pasport, berserta perkakasan dan sistem percetakan baharu. Datasonic juga sedang mengintai peluang dalam projek pasport asing, MyKid, serta projek rumusan auto-gate,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, penilaian saham Datasonic menarik memandangkan ia berada di bawah purata pada masa ini.
Ini disebabkan pertumbuhan pendapatannya, permintaan berterusan untuk penyelesaiannya dan hasil dividen yang lumayan, disokong oleh kunci kira-kira kukuh, jelas firma berkenaan.
RHB Investment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 62 sen sesaham berbanding 63 sen sebelumnya.
Firma itu berkata, TP adalah berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 2024 kekal pada 20 kali ganda pada purata lima tahun, dengan 2% premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) memandangkan skor ESG Datasonic pada 3.1 adalah lebih tinggi daripada median negara.
Setakat pukul 11:46 pagi ini, saham Datasonic kekal pada 44.5 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM1.3 bilion. - DagangNews.com