Penarafan sektor sarung tangan getah diturunkan kepada underweight ekoran saingan harga pengeluar China - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Penarafan sektor sarung tangan getah diturunkan kepada underweight ekoran saingan harga pengeluar China - PublicInvest

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Feb - Industri sarung tangan getah Malaysia dijangka kekal suram kerana harga purata jualan (ASP) tetap tidak berubah disebabkan keengganan pelanggan untuk menyerap kos tambahan di tengah-tengah persaingan sengit daripada pengeluar dari China.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, walaupun permintaan baru-baru ini telah menunjukkan beberapa tanda peningkatan tetapi landskap operasi masih mencabar, diburukkan lagi dengan kenaikan harga bahan mentah. 

 

"Kami melihat pergerakan menaik baru-baru ini dalam harga saham (pengeluar sarung tangan getah) telah melebihi penilaian saksama mereka.

 

"Kami semak turun taraf sektor sarung tangan daripada Neutral kepada Underweight dengan tiga saranan Kurang Prestasi pada Hartalega, Top Glove dan Kossan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, Top Glove, Hartalega dan Kossan Rubber yang dalam liputannya mencatatkan keputusan lebih lemah pada suku tahun baru-baru ini, terutamanya disebabkan oleh ASP dan jumlah jualan yang lebih rendah.

 

Justeru, katanya, landskap operasi untuk pembuat sarung tangan Malaysia dijangka masih mencabar memasuki separuh pertama tahun 2024 (1HCY24).

 

"Memandangkan persaingan harga daripada pemain sarung tangan China, pengeluar Malaysia tidak akan dapat menaikkan ASP.

 

harta

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jualan lebih rendah, PublicInvest semak turun unjuran pendapatan Hartalega sebanyak 35% bagi FY25

 

"Selain itu, arah aliran menaik dalam harga bahan mentah akan memburukkan lagi cabaran dalam mengekalkan margin operasi. 

 

"Kami percaya pergerakan positif harga saham baru-baru ini telah mengatasi penilaian saksamanya dan kerana kami tidak menjangkakan sebarang kejutan positif terhadap pendapatan dalam jangka sederhana. Oleh itu, kami menurunkan taraf sektor daripada Neutral kepada Underweight," jelasnya.

 

Menurut PublicInvest, industri sarung tangan Malaysia terus beroperasi pada kadar penggunaan yang rendah di bawah kapasiti 50% disebabkan oleh lebihan bekalan sarung tangan yang berkekalan. 

 

Katanya, sedangkan pemain sarung tangan China didapati masih beroperasi pada kapasiti hampir penuh. 

 

"Berdasarkan semakan kami, harga jualan sarung tangan pengeluar China adalah lebih murah iaitu AS$14-16 bagi setiap 1,000 keping berbanding pengeluar Malaysia yang menjualya pada AS$16-18/1,000 keping," ujarnya.

 

Kata PublicInvest, harga bahan mentah iaitu lateks asli dan nitrile butadiene yang mencakupi 30% daripada jumlah kos pengeluaran telah meningkat sejak Oktober 2023.

 

"Kami menjangkakan trend itu akan membawa kepada pengurangan margin operasi untuk pemain sarung tangan Malaysia dalam 1HCY24," jelasnya.- DagangNews.com