Penangguhan BNM masih berisiko, Kenanga turunkan penilaian CTOS Digital kepada 'market perform' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penangguhan BNM masih berisiko, Kenanga turunkan penilaian CTOS Digital kepada 'market perform'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Kenanga Investment Bank Research menyemak turun penilaian CTOS Digital Bhd. kepada 'market perform' berbanding 'outperform' sebelum ini berikutan terdapat potensi kelemahan kepada harga sahamnya. 

 

Bagaimanapun, firma itu meletakkan harga sasaran lebih tinggi ke atas CTOS Digital pada RM2 berbanding sebelum ini, RM1.75.

 

Penganalisisnya, Adrian Kok berkata, dengan penilaian pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 57x bagi tahun kewangan 2022 (iaitu 82% premium berbanding pemain lain) menjadikannya kurang enak kepada sesetengah pelabur. 

 

"Selain itu, terdapat kemungkinan berlaku overhang kepada sahamnya (pengambilan untung dalam kalangan pemegang saham utamanya selepas moratorium 6 bulan berakhir pada Januari).

 

"Walaupun kami berpendapat ia tidak mungkin berlaku, tetapi terdapat kemungkinan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menghentikan sementara akses perkhidmatan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dijangka berlanjutan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada 1 Oktober lalu, CTOS Data Systems Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh CTOS Digital menerima arahan daripada BNM mengenai penggantungan sementara akses terhadap CCRIS bagi semua agensi pelaporan kredit, termasuk CTOS.

 

Penangguhan sementara itu adalah 'langkah perlu, proaktif dan pencegahan kepada potensi ancaman siber dan kemungkinan berlakunya insiden kebocoran data dalam industri pelaporan kredit.'

 

CTOS Digital berkata, penangguhan sementara itu dijangka tidak memberi sebarang impak material kepada kewangannya pada masa ini.

 

Mengenai laporan kewangannya, Kok berkata, ia melebihi jangkaan firma dan anggaran konsensus yang mana ia dijangka kembali pulih pada suku keempat sejajar pemulihan ekonomi. 

 

Bagi tempoh suku ketiga, CTOS Digital merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras sebanyak RM15.2 juta menjadikan untung bersih bagi tempoh 9 bulan 2021 kepada RM46.6 juta (meningkat 48% tahun ke tahun).

 

"Pengurusan menjangkakan permintaan kembali pulih terhadap pengambilan penyelesaiannya, yang dilihat sejajar dengan trend sekatan pergerakan sebelum ini. 

 

"Memandangkan penangguhan data CCRIS masih berjalan, kami menyatakan petunjuk daripada potensi resolusi nota penjelasan CTOS yang menunjukkan kesannya dijangkakan pada Oktober dan tidak direalisasikan bagi hasil tahun kewangan 2021," katanya. - DagangNews.com