Pemulihan pasaran buruh sukar kembali kepada paras sebelum pandemik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan pasaran buruh sukar kembali kepada paras sebelum pandemik

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Julai - Pasaran buruh negara dilihat belum mencapai pemulihannya sepenuhnya kepada paras sebelum pandemik buat masa ini dipengaruhi beberapa ketidaktentuan, demikian menurut penganalisis.

 

UOB Research berkata, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk, kos tinggi dan tekanan harga pengguna serta kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemelesetan global mungkin akan menyaksikan lebih banyak firma menghentikan pengambilan pekerja.

 

Firma itu memetik kaji selidik S&P Global terbaru bagi pembuatan Malaysia yang menunjukkan pengeluar barangan melaporkan pemecatan pekerjaan untuk bulan kelima berturut-turut pada Jun akibat daripada tidak menggantikan pekerja lepasan sukarela, kekurangan pekerja dari luar negara dan mengurangkan perniagaan seiring dengan permintaan yang lemah. 

 

"Lebih-lebih lagi, pengeluar semakin bimbang bahawa kenaikan kos input dan harga keluaran di tengah-tengah kekurangan bahan yang berterusan dan harga tenaga yang tinggi akan membebankan sektor pembuatan, di samping kesan berterusan wabak itu di seluruh dunia.

 

"Ini ditambah pula dengan kebimbangan mengenai tempoh pemulihan global sepenuhnya menyebabkan tahap keyakinan perniagaan Malaysia turun ke paras terendah sejak Ogos lalu pada Jun," katanya dalam nota kajian.
 

Mengambil kira faktor tersebut, UOB Research mengekalkan unjuran kadar pengangguran tahun ini pada 3.6% dengan mengambil kira peralihan negara kepada fasa endemik dan sokongan kerajaan secara berterusan terhadap golongan rentan akan terus menyokong pemulihan pasaran buruh dalam tempoh terdekat.

 

Baca : Jabatan Perangkaan beri amaran tekanan inflasi di sebalik pemulihan pasaran buruh

 

Semalam, data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan bilangan penganggur pada Mei 2022 terus menurun dengan pengurangan sebanyak 1.8% 637,700 orang berbanding 649,300 pada April menjadikan kadar pengangguran pada bulan tersebut kekal pada 3.9%.

 

Pasaran buruh dijangka berada dalam momentum pemulihan yang positif dalam beberapa bulan akan datang, namun Jabatan Perangkaan berkata, ia tidak mengambil kira kesan jangka panjang daripada tekanan inflasi di seluruh dunia.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, pasaran buruh dijangka mengukuh pada separuh kedua ini disokong momentum dalam ekonomi dalam negeri dan pengembangan stabil bagi sektor luaran.

 

"Kami turut meramalkan sedikit peningkatan dalam pengambilan pekerja bukan warganegara. Penggajian pekerja telah menurun sebanyak -1.8% pada 2020 dan -2.9% pada 2021 yang menyebabkan lebih daripada 100,000 meninggalkan tenaga kerja akibat wabak COVID-19," katanya.

 

Bagaimanapun, ia menjangkakan kadar pengangguran yang lebih rendah tahun ini pada 3.8% berbanding 4.6% pada 2021.

 

"Tetapi, unjuran ini masih lagi tinggi berbanding kadar pengangguran sebelum pandemik pada 3.4%," tambahnya. - DagangNews.com