Pemerolehan kenderaan Scania Gryphus gandakan mobiliti, logistik Tentera Darat  | DagangNews Skip to main content

Pemerolehan kenderaan Scania Gryphus gandakan mobiliti, logistik Tentera Darat 

oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 31 Mac - Selain daripada kuasa tembakan dan komunikasi, mobiliti juga merupakan aspek penting dalam mempertingkatkan kemampuan Tentera Darat (TD) semasa misi atau latihan.

 

Mobiliti yang baik berupaya menyokong kelancaran bantuan logistik yang mana aspek ini juga menjadi penentu dalam tempo sesebuah operasi.

 

Aspek mobiliti TD misalnya memasuki dimensi baharu apabila buat pertama kali mengendalikan kenderaan pengangkut kargo kelas berat iaitu Heavy Expended Mobility Tactical Truck-Multi Cargo Palletised Loading System (HEMTT-MCPLS).


 

tnb

 


Kenderaan jenama Scania Gryphus ini merupakan aset terkini dalam inventori 72 Batalion Kor Perkhidmatan Diraja (72 BN KPD) yang baru diterima pasukan tersebut pada 27 Januari lalu.

 

Malaysia merupakan negara keempat di dunia dan pertama di Asia yang menggunakan kenderaan jenis ini.

 

Scania Gryphus juga menjadi pilihan banyak angkatan tentera terutama di Eropah.

 

KPD adalah pasukan atau kor yang menjadi tulang belakang TD dalam bantuan logistik khususnya menyediakan pengangkutan dan bekalan.


 

tnb

 


Fungsi kenderaan HEMTT adalah bagi menyediakan keupayaan pengangkutan berat seperti bekalan atau lain-lain keperluan logistik ke barisan hadapan.

 

Berbanding dengan trak jenis tiga tan atau lima tan sedia ada, HEMTT menawarkan muatan dan mobiliti yang lebih tinggi.

 

Trak ini mempunyai sistem kren dan kuasa hidraulik sama ada untuk memindahkan bekalan, peralatan atau peluru serta kargo berat.

 

Kenderaan Scania Gryphus ini merupakan pacuan 8x8 dengan panjang 10.80 meter (m), lebar (2.55m) dan ketinggian (3.715m). Ia boleh membawa muatan sehingga 10 tan dengan jarak pemanduan sejauh 850 kilometer.

 

Tidak seperti trak komersial, ciri-ciri pada kenderaan ini juga membolehkan ia dioperasikan pada keadaan jalan yang sukar selain tahan lasak.


 

ATM

 


Pada Isnin lalu, demonstrasi keupayaan kenderaan ini telah diadakan di Garaj Kompeni Angkut 72 BN KPD di Taiping, Perak yang dihadiri Panglima Divisyen Kedua Infantri (2 Div), Mejar Jeneral Dato’ Muhammad Huzaimi Sabri. 

 

Demonstrasi tersebut untuk mempamerkan keupayaan kenderaan ini dalam memenuhi keperluan bantuan operasi logistik bagi menjayakan sesebuah misi.

 

Kenderaan ini dibekalkan dengan sebuah water bowser, sebuah fuel bowser, flatrack dan sebuah kontena bersaiz enam meter.

 

Antara yang ditunjukkan ialah demonstrasi pelaksanaan menurun dan menaikkan modul water bowser oleh kru kenderaan yang terdiri daripada tiga anggota.


 

ATM

 


Sejurus selepas demonstrasi, Panglima 2 Div turut dibawa melihat kenderaan serta berpeluang untuk melaksanakan sesi pandu uji di Litar Memandu Pusat Latihan Kor Perkhidmatan.

 

TD memperolehi tiga buah kenderaan Scania Gryphus HEMTT-MCPLS ini pada Oktober tahun lalu bersama beberapa aset baharu lain.

 

Walaupun tidak dinyatakan kos perolehan kenderaan ini tetapi setiap satu kenderaan  dianggarkan bernilai sekitar RM800,000.

 

Bagi keperluan jangka panjang, lebih banyak trak berat HEMTT-MCPLS ini perlu dibekalkan kepada TD bagi melancarkan sokongan logistik termasuk pasukan di Sabah dan Sarawak. - DagangNews.com