Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Jun - Pakej rangsangan baharu, Pemerkasa Plus menjadi penyelamat kepada rantaian ekonomi khususnya sektor pelancongan, seni dan kebudayaan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha berkenaan membolehkan penggiat industri pelancongan dan budaya meneruskan kelangsungan perniagaan sekali gus mengekalkan tenaga kerja di sektor masing-masing.
"Bagi pihak MOTAC, saya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memperuntukkan sejumlah dana sebagai inisiatif terkini dalam membantu meredakan cabaran yang dihadapi penggiat industri pelancongan dan kebudayaan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa ini.
"Inisiatif ini menunjukkan komitmen kerajaan atas setiap keluhan rakyat dalam rantaian ekonomi sektor pelancongan dan kebudayaan yang terjejas akibat wabak pandemik COVID-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menilai kepada situasi semasa, Nancy memberitahu, pihaknya akan terus meningkatkan kerjasama dengan penggiat industri pelancongan dan kebudayaan menerusi sesi libat urus dalam tempoh dua minggu sebagai persiapan sekiranya PKP dilanjutkan.
Jelas beliau, usaha tersebut adalah bagi mengenal pasti bentuk bantuan lain yang diperlukan golongan sasar sekaligus meningkatkan keberkesanan penyaluran fiskal kerajaan secara ‘bottom to top’.
Dalam tempoh yang sama juga, MOTAC akan memastikan penyelarasan dan pemantauan terhadap pelaksanaan Pemerkasa Plus akan berjalan dengan lancar agar semua penggiat industri dapat dibantu segera dan mendapat manfaat daripada bantuan tersebut.
Berikut adalah antara manfaat yang diterima penggiat industri dalam sektor pelancongan dan kebudayaan;
- Bantuan khas secara one-off sebanyak RM500 ringgit kepada 17,000 ribu pemandu pelancong berdaftar, 4,000 bas persiaran berdaftar, pemandu teksi, kereta sewa, bas sekolah, dan e-hailing melibatkan peruntukan berjumlah RM68 juta;
- Melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik sebanyak 10% selama 3 bulan tambahan antara bulan Julai hingga September 2021 kepada pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks membeli-belah, pusat-pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan;
- Pemberian potongan khas kepada pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa premis perniagaan kepada PKS dan bukan PKS untuk tempoh 6 bulan lagi sehingga 31 Disember 2021 bagi pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30% daripada kadar sewa semasa;
- Pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel masih berterusan dan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021;
- Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi dengan nilai peruntukan RM1 bilion. Melalui skim ini, pengusaha bas dan teksi yang layak boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan;
- Melanjutkan Program Subsidi Upah di bawah PERKESO selama 1 bulan bagi semua sektor ekonomi yang terkesan dengan kos RM1.5 bilion dengan had 500 pekerja bagi setiap permohonan; dan
- Pembiayaan mikro kredit serendah 3% sebagai modal kerja dengan peruntukan berjumlah RM1.5 bilion.
Sementara itu, beliau turut menyeru agar semua pihak berbanding bahu bersama barisan petugas hadapan negara untuk memutuskan rantaian penularan wabak pandemik COVID-19 dengan sentiasa mengamalkan pematuhan SOP dalam kehidupan seharian. - DagangNews.com








