Pemegang saham Axiata lulus cadangan penggabungan Celcom-Digi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham Axiata lulus cadangan penggabungan Celcom-Digi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Nov - Pemegang saham Axiata Group Bhd. meluluskan cadangan penggabungan antara Celcom Axiata Bhd. dan Digi.Com Bhd. dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan hari ini. 

 

Dalam kenyataan, Axiata berkata, keputusan EGM melalui undian telah dikemukakan kepada Bursa Securities (seperti yang dikehendaki oleh badan kawal selia berkenaan.

 

"Memandangkan pemegang saham Axiata telah bersetuju, penggabungan ini semakin hampir selesai, setelah sebelum ini diluluskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Securities sebelum EGM ini diadakan," katanya.

 

Pada April lalu, Axiata berkata, cadangan penggabungan bagi membentuk entiti baharu itu dijangka selesai pada separuh kedua 2022.

 

Penyempurnaan transaksi itu akan tertakluk kepada kelulusan kedua-dua syarikat dan pemegang saham Digi, kelulusan kawal selia dan terma serta syarat lain.

 

Susulan itu, SC telah meluluskan cadangan penggabungan antara Digi dan Celcom pada September lalu di bawah terma dan syarat yang tertentu.

 

Cadangan penggabungan itu membabitkan pemindahan keseluruhan modal saham terbitan Celcom sebanyak 1.24 bilion saham oleh Axiata kepada Digi pada harga RM17.76 bilion, serta penyenaraian tambahan 3.96 bilion saham baharu Digi di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

SC juga telah meluluskan struktur ekuiti bumiputera dalam Digi berikutan dengan cadangan penggabungan itu.

 

Terdahulu pada Jun lalu, MCMC mengeluarkan notis tiada bantahan kepada cadangan penggabungan tersebut setelah menjalankan penilaian secara menyeluruh.

 

Digi dan Celcom adalah pengendali perkhidmatan mudah alih kedua dan ketiga terbesar pada masa kini, justeru penggabungan akan menghasilkan pengendali perkhidmatan mudah alih yang terbesar di Malaysia.

 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Digi memberitahu telah memperoleh kelulusan pemegang saham untuk bergabung dengan Celcom dalam mesyuarat EGMnya hari ini. 

 

"Pemfailan rasmi mengenai keputusan EGM akan dibuat kepada Bursa Malaysia sebaik sahaja pasaran dibuka semula pada minggu depan," katanya. 

 

Menurutnya, apabila penggabungan itu selesai, Axiata dan Telenor akan memegang pemilikan sama sebanyak 33.1% setiap satu dalam syarikat gabungan baharu itu, yang dicadangkan dinamakan Celcom Digi Bhd. - DagangNews.com