KUALA LUMPUR 19 Mei - Artroniq Berhad telah mendapatkan persetujuan pemegang saham di untuk kumpul RM36.8 juta daripada penempatan persendirian di mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat hari ini.
Syarikat penyedia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) global itu akan menerbitkan sehingga 65,659,400 saham penempatan persendirian bagi kepelbagaian di dalam pembuatan basikal elektrik (e-basikal), modal kerja am dan anggaran perbelanjaan untuk cadangan tersebut.
Pemegang saham juga bersetuju dengan cadangan mengembangkan perniagaan e-basikal sebagai sebahagian daripada strategi syarikat untuk mempelbagaikan aliran pendapatannya.
Syarikat juga telah menerima kelulusan untuk terbitan bonus sehingga 196,978,202 waran baru berdasarkan satu waran bagi setiap dua saham biasa sedia ada untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham.
Sekiranya semua waran dilaksanakan pada harga pelaksanaan 60 sen seunit, syarikat akan menaikkan hasil kasar sebanyak RM118 juta untuk digunakan bagi keperluan modal kerja, termasuk pembayaran kepada pembekal dan pemiutang perdagangan, kos kakitangan, imbuhan pengarah dan caruman berkanun, perbelanjaan overhed dan, perbelanjaan pematuhan.
Ketua Pegawai Kewangan Artroniq, Marcus Chin Choon Wei berkata perniagaan e-basikal bukan sahaja menambah aliran pendapatan tambahan, ia juga menyumbang 25% atau lebih dalam keuntungan bersih selain menokok 25% atau lebih aset bersih syarikat.
“Perniagaan produk ICT yang terdiri daripada penyediaan penyelesaian point-of-sale (POS) dan pengedaran perkakasan POS, persisian dan perkhidmatan yang berkaitan akan kekal memandangkan syarikat berusaha memanfaatkan peluang dalam trend teknologi," tambahnya dalam satu kenyataan.
Awal tahun ini, anak syarikat milik penuh Artroniq, Artroniq iTech Sdn Bhd, dianugerahkan kontrak dua tahun bernilai RM100 juta daripada Beno Inc. untuk memasang 7,000 unit e-basikal siri Reevo yang dijangka siap pada atau sebelum 30 September 2023.
Harga saham Artroniq pada hari ini kekal pada 79.5 sen dengan modal pasaran sebanyak RM261 juta. -DagangNews.com








