Pembukaan sepenuhnya Lebuhraya WCE bakal pacu ekonomi pelancongan negeri Perak | DagangNews Skip to main content

Pembukaan sepenuhnya Lebuhraya WCE bakal pacu ekonomi pelancongan negeri Perak

Lebuhraya WCE menyediakan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya untuk ke pantai barat negeri Perak.
Oleh Zaki Salleh

CHANGKAT JERING 17 Jan - Ekonomi pelancongan negeri Perak bakal melonjak apabila jajaran Projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) siap sepenuhnya.

 

Pengguna akan mempunyai pilihan laluan alternatif untuk ke kawasan pantai barat di Perak seperti Teluk Intan, Manjung, Pulau Pangkor, Beruas, Trong, Changkat Jering dan Taiping.

 

Fasa akhir ketika ini ialah menyiapkan jajaran Seksyen 11 melibatkan persimpangan Beruas dan Taiping Selatan sebelum dibuka untuk kegunaan orang awam. 

 

Seksyen 11 merupakan pelengkap kepada jajaran Lebuhraya WCE di Perak dengan jaraknya antara kedua-dua persimpangan adalah 35.5 kilometer (km).

 

WCE

 

Sehingga kini, lima daripada keseluruhan 11 seksyen pembinaan lebuh raya sepanjang 233km menghubungkan Taiping di Perak dan Banting, Selangor telah dibuka kepada trafik.

 

Laluan tersebut ialah Seksyen 5 (Klang-Kapar) dan Seksyen 6 (Kapar-Assam Jawa) di Selangor.

 

Di Perak ialah Seksyen 8 (Hutan Melintang-Teluk Intan), Seksyen 9 (Kg. Lekir-Changkat Cermin) dan Seksyen 10 (Changkat Cermin-Beruas) di Perak.

 

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad telah melakukan lawatan meninjau pelaksanaan Projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) Jajaran Seksyen 11.

 

WCE
Saarani (tengah) bersama sebahagian exco kerajaan negeri Perak semasa meninjau projek Lebuhraya WCE di Changkat Jering.

 

Beliau telah diberi penerangan status semasa penyiapan kerja-kerja pembinaan Persimpangan bertingkat Taiping Selatan Lebuhraya WCE. 

 

Turut hadir dalam lawatan tersebut Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan termasuk exco kerajaan negeri. - DagangNews.com