Pembaharuan subsidi tidak perlu campur tangan dasar monetari - Gabenor BNM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembaharuan subsidi tidak perlu campur tangan dasar monetari - Gabenor BNM

(Dari kiri) Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid; Timbalan Gabenor BNM, Datuk Jessica Chew Cheng Lian; Gabenor BNM, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour; dan Timbalan Gabenor BNM Datuk Marzunisham Omar pada majlis pelancaran Laporan Tahunan BNM 2023, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 serta Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2023 pada 20 Mac 2024.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Mac - Kesan daripada langkah pembaharuan seperti rasionalisasi subsidi adalah bersifat sementara dan oleh itu, tidak memerlukan campur tangan dasar monetari, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Gabenor BNM, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, dasar monetari adalah ‘alat tumpul’ yang menangani komponen permintaan ekonomi.

 

“Bagaimanapun, kami akan terus berwaspada dan terus memerhati data, sama ada terdapat tekanan inflasi atau permintaan. Hanya situasi sedemikian akan memerlukan campur tangan dasar monetari,” ujar beliau pada sidang media sempena penerbitan Laporan Tahunan BNM 2023, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 serta Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2023 hari ini.

 

Malaysia dijadual memperluas usaha rasionalisasi subsidinya melalui subsidi bersasar bagi diesel dan petrol, yang bakal dilancarkan tahun ini, berikutan peningkatan bil subsidi sehingga RM81 bilion yang dianggarkan pada 2023 sahaja.

 

Bank pusat itu menjangkakan pertumbuhan KDNK Malaysia meningkat kepada 4% hingga 5% tahun ini, daripada 3.7% pada 2023. Inflasi pula dijangka antara 2% hingga 3.5% pada 2024, berbanding 2.5% pada 2022.

 

Abdul Rasheed berkata, unjuran-unjuran berkenaan telah mengambil kira senario di mana rasionalisasi subsidi diteruskan.

 

Kerajaan telah pun memulakan langkah rasionalisasi subsidi, susulan rasionalisasi tarif elektrik dan tarif air tahun ini. - DagangNews.com