KUALA LUMPUR 24 Mei - Pelikan International Corporation Bhd sedang berunding dengan bakal pembeli strategik untuk melupuskan sebahagian besar aset dan kepentingan perniagaan.
Pelikan sedang melantik sebuah bank pelaburan sebagai penasihat prinsipal untuk menasihati lembaga pengarah mengenai pelupusan tersebut dan merundingkan terma urus niaga, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.
Tambahnya, pengumuman sewajarnya kepada Bursa Malaysia sejajar dengan keperluan penyenaraian Pasaran Utama akan dibuat sebaik sahaja rundingan dimuktamadkan dan perjanjian muktamad ditandatangani.
Dalam makluman berasingan, Pelikan kembali mencatat keuntungan bersih RM4.6 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) berbanding kerugian bersih RM6.1 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, pendapatan kumpulan meningkat 18.1% kepada RM236.7 juta daripada RM200 juta pada suku pertama tahun lalu.
“Prestasi kewangan suku ini telah didorong oleh jualan kukuh di rantau Amerika Lain yang merekodkan peningkatan lebih 75%, melepasi paras jualan pra-COVID.
Pasaran utama lain seperti Jerman terus kukuh pada suku semasa yang meliputi 46.8% daripada pendapatan kumpulan dengan sumbangan yang meningkat 3.7% pada 1QFY23,” katanya.
Pelikan berkata ia menjangkakan perkembangan positif dipacu oleh sumbangan pelanggan utamanya memandangkan kumpulan itu bersedia untuk musim kembali ke sekolah bermula dari Jun.
Sementara negara-negara Eropah yang lain, terutamanya negara-negara Eropah Timur berdepan dengan inflasi yang tinggi yang menjejaskan permintaan dan penggunaan keseluruhan,
Sementara itu, pembangunan jualan di rantau Eropah, terutamanya di Eropah Timur, masih menunjukkan daya tahan walaupun berdepan dengan inflasi yang tinggi berikutan pendapatan mereka kekal pada tahap yang sama seperti tahun-tahun lepas.
“Strategi menumpukan lebih kepada segmen sekolah selama ini berbanding segmen pejabat juga membuka jalan kepada aliran ekonomi kumpulan disebabkan produk sekolah masih merupakan perbelanjaan keperluan yang tinggi untuk ibu bapa walaupun inflasi tinggi dan ekonomi dalam kesukaran.
“Di samping itu, instrumen tulisan halus mewah adalah lebih kepada produk global dan sebahagian besar dijual dalam pasaran Asia yang kini kembali normal selepas tempoh COVID, khususnya China, Jepun dan Korea,” tambahnya.
Pelikan berkata ia berhasrat untuk dapat merealisasikan urus niaga yang demi kepentingan terbaik pemegang saham dan mencapai penilaian melebihi nilai aset bersihnya. -DagangNews.com







