Pelanggan Versa boleh mula melabur dalam hartanah, emas bermula RM100 | DagangNews Skip to main content

Pelanggan Versa boleh mula melabur dalam hartanah, emas bermula RM100

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Dis - Versa Asia, platform pengurusan tunai digital Malaysia, mengumumkan pengembangan penawaran pelaburan digitalnya melalui pelancaran Versa REITs dan Versa Gold.

 

Pelanggan boleh mula melabur dalam kedua-dua Versa REITs dan Versa Gold dengan minimum RM100.

 

Versa REITs merupakan dana yang pelaburan dalam pelbagai sektor hartanah seperti pusat beli-belah, pejabat, pusat data, taman perniagaan, kilang dan gudang yang terletak di seluruh rantau Asia Pasifik (kecuali Jepun) yang diuruskan oleh syarikat hartanah terkemuka Asia.

 

Sementara itu, Versa Gold ialah dana patuh syariah pertama Versa yang menjejaki dengan teliti prestasi harga emas yang menjadikan pembelian dan penjualan emas cepat serta mudah dengan modal permulaan serendah RM100, serta yuran telus yang rendah. 

 

Dana asas Versa Gold ialah dana Affin Hwang Shariah Gold Tracker.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya Teoh Wei Xiang berkata, Versa sentiasa berusaha memperkasakan rakyat Malaysia untuk mencapai kesejahteraan kewangan dengan menyediakan tawaran yang relevan, mudah dan senang diakses.

 

“Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, pelabur mencari aset yang berupaya melindungi pelaburan daripada ketidaktentuan pasaran saham. 

 

"Disebabkan oleh ciri intrinsiknya, aset seperti hartanah dan emas terus digemari oleh pelabur sedunia kerana sifatnya yang stabil dan kemampuan menyaingi kadar inflasi. 

 

"Dalam memperkenalkan Versa REITs dan Versa Gold, Versa komited untuk memastikan rakyat Malaysia mampu melabur dalam tawaran yang boleh bantu mengukuhkan portfolio pelaburan dengan modal permulaan yang rendah," katanya.

 

Pengarah Urusan AHAM Capital, Datuk Teng Chee Wai berkata, terdapat keperluan yang semakin meningkat untuk produk kewangan yang mudah dan mampu milik.

 

“Melalui jalinan kerjasama bersama Versa, AHAM Capital kekal komited dalam matlamat kami ke arah menerajui pendigitalan untuk menjadikan pelaburan lebih senang dan lebih mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia. 

 

"Dengan kitaran pasaran yang semakin cepat serta mencabar, kelas aset seperti REIT dan emas menawarkan alternatif untuk pelabur mempelbagaikan portfolio mereka dalam usaha mengembangkan dan memelihara kekayaan," katanya. - DagangNews.com