Pelan kumpul RM550 juta daripada bon antara strategi selamatkan KNM – Andreas Heeschen | DagangNews Skip to main content

Pelan kumpul RM550 juta daripada bon antara strategi selamatkan KNM – Andreas Heeschen

(Dari kiri) Tunku Kamariah Aminah Maimunah lskandariah Sultan Iskandar, Andreas Heeschen dan Flavio Porro kemuka rancangan untuk memacu KNM pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. [Foto DagangNews/Diyana Isamudin]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Okt - Bilionair Jerman, Andreas Heeschen berhasrat untuk mengumpul 110 juta (kira-kira RM550 juta) menerusi bon sebagai sebahagian daripada pelan menyelamatkan KNM Group Bhd yang sarat dengan hutang.

 

Kumpulan yang diketuai oleh Puteri Johor Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan bilionair Jerman, Andreas Heeschen telah mengadakan sidang media di Kuala Lumpur hari ini bagi menjelaskan bahawa tujuan mereka hanya untuk menyelamatkan syarikat dari status Nota Amalan 17 (PN17).

 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: KNM: Pertembungan kerabat Diraja Johor-Negeri Sembilan merebut kerusi Lembaga Pengarah

 

 

Andreas menjelaskan bahawa KNM mempunyai hutang kira-kira RM1.1 bilion yang perlu distrukturkan, di mana bon sebanyak RM550 juta itu dilihat sebagai permulaan yang baik.

 

"Kami yakin bahawa kami boleh mengeluarkan bon €110 juta (RM550 juta) kepada pelabur institusi Eropah, yang telah dikenal pasti,  dengan menggunakan jaminan tertentu daripada aset KNM dan memulakan pembayaran kepada pemiutang dalam tempoh 90 hari selepas mengambil alih jawatankuasa. Penerbitan bon ini tertakluk kepada ujian kelayakan biasa dan maklumat yang pada masa ini tidak kami miliki," katanya.

 

Andreas berkata, pihaknya akan dapat mengumpul €110 juta euro wang baharu untuk syarikat tersebut bagi menggantikan hutang sedia ada.

 

 

(Dari kiri) Edwin Silvester Das, William H Van Vliet III, Datuk Abd. Ghani Yusof, Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, Andreas Heeschen, Flavio Porro, dan Datuk Zaidi Mat Isa tampil menjelaskan hala tuju mereka bagi memulihkan KNM
(Dari kiri) Edwin Silvester Das, William H Van Vliet III, Datuk Abd. Ghani Yusof, Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, Andreas Heeschen, Flavio Porro, dan Datuk Zaidi Mat Isa tampil menjelaskan hala tuju mereka bagi memulihkan KNM. [Foto DagangNews/Diyana Isamudin]

 

 

“Pada masa ini, kami yakin menjelang akhir tahun ini, kami boleh mendapatkan  €110 juta euro yang akan digunakan untuk membayar pemiutang,” katanya yang melihat keupayaan KNM  untuk menjadikan portfolio aset semasanya jauh lebih baik.

 

Mengulas mengenai aset KNM, William H Van Vliet III berkata KNM mempunyai kilang di Kuantan, Melaka dan Batam, namun kurang digunakan dan melihat potensi untuk meningkatkan kadar penggunaannya.

 

“Kita boleh memulakan semula operasi kilang-kilang ini untuk mengambil tugasan anak syarikat lain bagi membantu kos kekal rendah.

 

“Kita juga mempunyai kilang etanol di Thailand yang terbiar sejak awal pandemik dan ini perlu diperbaiki. Ia menyediakan aliran hasil berulang jangka panjang untuk syarikat,” ulasnya mengenai aset sedia KNM yang akan dipulihkan semula di bawah Rancangan Penstrukturan 5 tahun.

 

 

(Dari kiri) William H Van Vliet III, Andreas Heeschen dan Flavio Porro
(Dari kiri) William H Van Vliet III, Andreas Heeschen dan Flavio Porro [Foto DagangNews/Diyana Isamudin]

 

 

Menurut William, mereka berhasrat melabur dalam projek etanol Impress di Thailand, untuk memulakan semula fasiliti tersebut, dan mungkin meningkatkan kapasitinya dari 200,000 liter sehari kepada 500,000 liter.

 

Mengulas mengenai perebutan kerusi lembaga pengarah, Andreas menekankan bahawa gesaan menyingkir lembaga pengarah KNM sedia ada ini bukanlah bertujuan untuk bermusuhan namun merupakan permintaan daripada pemegang saham bagi mengambil langkah untuk memulihkan syarikat.

 

“Saya adalah pelabur dalam syarikat ini dan secara amnya, saya bimbang wang digunakan untuk membeli saham dalam syarikat ini akan dihapuskan. Ia akan menjadi sifar jika pemegang hutang syarikat ini mengambil alih,” katanya. 

 

Jika kumpulan ini berjaya mendapatkan undian pemegang saham untuk membentuk lembaga pengarah baharu dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 16 Oktober ini, Tunku Kamariah dijangka menjadi pengerusi kumpulan itu, di samping Andreas dan lima pengarah lain – Edwin Silvester Das, Datuk Zaidi Mat Isa, William H Van Vliet III, Flavio Porro, dan Datuk Abd Ghani Yusof – memegang peranan penting.

 

Tunku Kamariah adalah ahli kerabat diraja Johor dan kakak kepada Sultan Johor sekarang. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, beliau aktif dalam dunia korporat Malaysia.

 

Andreas, rakan Tunku Kamariah, telah dijemput untuk melabur di Malaysia dengan harapan untuk menstrukturkan semula KNM daripada kesukaran kewangannya sambil membawa masuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan mewujudkan pekerjaan. - DagangNews.com