Pelabur asing kembali beli ekuiti tempatan minggu lalu sebanyak RM477.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing kembali beli ekuiti tempatan minggu lalu sebanyak RM477.5 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Jun - Pelabur asing kembali membeli ekuiti dalam pasaran tempatan pada minggu lalu yang mencatat aliran masuk sebanyak RM477.5 juta. 

 

Dalam laporan aliran dana mingguan MIDF Research, didapati mereka membeli ekuiti mulai Isnin hingga Rabu dengan aliran tertinggi pada Selasa sebanyak RM320.8 juta manakala paling rendah direkodkan pada Rabu sebanyak RM111.2 juta.

 

"Sebaliknya pelabur asing menjual ekuiti pada Khamis dan Jumaat masing-masing berjumlah RM67.3 juta dan RM9.3 juta.

 

"Setakat ini, dana antarabangsa merupakan pembeli bersih ekuiti tempatan selama 17 daripada 22 minggu dengan mencatat aliran masuk RM7.4 bilion," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

Sementara itu, pelabur runcit kembali menjual ekuiti pada minggu berakhir 3 Jun 2022, dengan aliran keluar berjumlah RM121.4 juta. 

 

Ini menjadikan pelabur runcit mengekalkan kedudukan sebagai penjual bersih ekuiti selama 4 minggu berturut-turut berjumlah RM356.1 juta.

 

Sepanjang minggu lalu, pelabur runcit tempatan menjual ekuiti setiap hari kecuali Khamis, dengan pembelian sebanyak RM10.5 juta. 

 

"Mereka membeli ekuiti selama 13 minggu daripada 22 minggu, dengan setakat ini berjumlah RM1.1 bilion," katanya. 

 

Pelabur institusi tempatan pula merupakan satu-satunya penjual bersih ekuiti dalam tempoh 3 hari pertama minggu lalu sebanyak RM426.1 juta.

 

"Aliran keluar paling tinggi direkodkan sebanyak RM284 juta pada Selasa. Malah, mereka sudah menjual RM8.5 bilion ekuiti dalam tempoh selama 19 daripada 22 minggu setakat ini," jelasnya.

 

Dari segi penyertaan pelabur, semua kategori kecuali pelabur runcit menunjukkan peningkatan pada minggu lalu. 

 

"Nilai purata dagangan harian (ADTV) pelabur asing dan institusi tempatan masing-masing meningkat 110.3% dan 24%, sebaliknya ADTV pelabur runcit susut 2.5%," katanya.

 

Menurut MIDF Research, indeks utama FBM KLCI minggu lalu susut 0.58% sebelum berakhir pada 1,537.83 mata manakala ringgit juga susut 0.24% kepada RM4.3890 berbanding dolar AS ketika mengakhiri dagangan pada Jumaat. - DagangNews.com