Pelabur asing jual RM503.1 juta ekuiti tempatan selepas lima minggu membeli – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM503.1 juta ekuiti tempatan selepas lima minggu membeli – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Mac - Pelabur asing menamatkan aliran masuk mereka di Bursa Malaysia selepas lima minggu berturut-turut membeli ekuiti tempatan dengan mencatat jualan bersih RM503.1 juta minggu lepas, jumlah jualan bersih paling kukuh dalam 19 minggu.

 

MIDF Research berkata, pelabur asing membeli bersih RM189.7 juta pada Selasa tetapi menjadi penjual bersih pada hari-hari lain, dengan jualan bersih tertinggi sebanyak RM268.3 juta pada Rabu.

 

“Sektor yang merekodkan aliran masuk asing tertinggi adalah utiliti (RM274 juta), pengangkutan (RM61.4 juta) serta telekomunikasi dan media (RM31.2 juta).

 

Sektor dengan aliran keluar asing tertinggi pula merangkumi perkhidmatan kewangan (RM515.9 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM107.6 juta) dan perladangan (RM76.1 juta), “ katanya dalam laporan aliran dana mingguan.

 

 

Tiga saham dengan aliran masuk asing tertinggi, mengikut nilai, adalah YTL Corp Bhd, Tenaga Nasional Bhd dan Sime Darby Bhd manakala tiga saham dengan aliran keluar asing tertinggi terdiri daripada Public Bank Bhd, CIMB Group Holdings Bhd dan Dialog Bhd.

 

Berbanding dengan pelabur asing, pelabur institusi tempatan mencatat aliran masuk RM443.5 juta selepas lima minggu berturut-turut menjual bersih.

 

Pelabur runcit tempatan juga membeli bersih minggu lalu, berjumlah RM59.6 juta, selepas jualan bersih selama tiga minggu berturut-turut.

 

“Dari segi pergerakan pelabur, purata nilai dagangan harian (ADTV) meningkat merentasi semua kelas pelabur. 

 

“Pelabur runcit tempatan menyaksikan peningkatan 14% manakala pelabur institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing naik 13.1% dan 109.8%,” tambahnya.  - DagangNews.com