KUALA LUMPUR 10 Julai - Pelabur asing meneruskan rentak jualan bersih mereka di Bursa Malaysia untuk minggu ke-12 berturut-turut, dengan aliran keluar mencecah RM254.1 juta minggu lepas berbanding RM359.9 juta minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata aliran masuk pelabur asing direkodkan pada Isnin sebanyak RM83 juta, dengan mereka menunjukkan minat dalam saham seperti Public Bank (RM28.4 juta), Maybank (RM16 juta) dan Gamuda (RM15.2 juta).
“Pelabur asing telah menjadi penjual selama 21 daripada 27 minggu tahun ini, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM4.45 bilion,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut firma itu, hanya dua sektor yang mencatat aliran masuk bersih pelabur asing minggu lepas iaitu perladangan (RM23.5 juta) dan pembinaan (RM22.4 juta).
Manakala tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar adalah perkhidmatan kewangan (RM75.9 juta), produk pengguna dan perkhidmatan (RM51.2 juta), serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM50.3 juta).
Sementara itu, pelabur institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu keenam berturut-turut pada kadar RM200.9 juta.
“Berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3% pada Khamis, Jumaat menyaksikan aliran masuk tertinggi berjumlah RM160.6 juta) daripada pelabur institusi tempatan,” tambahnya.
Setakat ini, mereka telah menjadi pembeli bersih ekuiti domestik selama 21 daripada 27 minggu, dengan jumlah aliran masuk sebanyak RM3.93 bilion.
Pelabur runcit tempatan pula kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut, dengan aliran masuh bernilai RM53.2 juta minggu lepas.
Setakat ini, mereka telah menjadi pembeli selama 15 daripada 27 minggu, merekodkan belian bersih tahun setakat ini berjumlah RM516.3 juta.
“Dari segi pergerakan pelabur, nila purata dagangan harian (ADTV) bagi pelabur asing dan pelabur runcit masing-masing menurun 17.9% dan 1.2%, tetapi dalam kalangan pelabur institusi tempatan meningkat 3.3%,” jelasnya. - DagangNews.com








