Pelabur asing beli RM10.2 juta ekuiti tempatan minggu lalu selepas dua minggu menjual – MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing beli RM10.2 juta ekuiti tempatan minggu lalu selepas dua minggu menjual – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt - Pelabur asing telah membeli bersih ekuiti domestik di Bursa Malaysia bernilai RM10.2 juta minggu lepas, selepas dua minggu berturut-turut mencatat jualan bersih.

 

MIDF Research berkata minggu lalu menyaksikan dagangan bercampur-baur, dengan aliran masuk asing hanya pada Selasa dan Khamis.

 

“Kebanyakan aliran masuk berlaku pada Khamis (RM118 juta), sehari sebelum pengumuman Belanjawan 2024.

 

“Pada hari tersebut, sektor utiliti merekodkan aliran masuk tertinggi sebanyak RM70 juta, dengan pelabur asing menunjukkan minat dalam saham seperti Tenaga Nasional Berhad (RM24.6 juta), YTL Power International Berhad (RM21.5 juta) dan YTL Corporation Berhad (RM17.1 juta),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Setakat tahun ini, pelabur asing telah menjual bersih RM3.12 bilion ekuiti di Bursa Malaysia.

 

Menurut firma penyelidikan itu, tiga sektor teratas dengan aliran masuk pelabur asing adalah utiliti (RM221.5 juta), teknologi (RM62 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM43.9 juta).

 

Manakala tiga sektor teratas yang mencatat aliran keluar adalah produk dan perkhidmatan pengguna (RM130.4 juta), penjagaan kesihatan (RM103 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM6 juta).

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan terus membeli ekuiti domestik untuk minggu kedua berturut-turut berjumlah RM136.9 juta minggu lalu, jauh lebih rendah berbanding RM1.05 bilion minggu sebelumnya.

 

MIDF Research berkata pelabur institusi tempatan telah membeli bersih RM3.77 bilion ekuiti setakat ini.

 

Sebaliknya, pelabur runcit tempatan beralih menjadi penjual bersih ekuiti domestik, dengan aliran keluar RM147.1 juta, menandakan pembalikan daripada pembelian bersih dua minggu berturut-turut.

 

Setakat ini, pelabur runcit telah merekodkan jualan bersih berjumlah RM655.3 juta.

 

“Dari segi pergerakan pelabur, purata nilai dagangan harian (ADTV) secara keseluruhannya menurun dalam kalangan pelabur runcit (1.6%), pelabur institusi tempatan (13%) dan pelabur asing (4.6%),” katanya. - DagangNews.com