KUALA LUMPUR 26 Julai - Pengeluar upholsteri automotif Pecca Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pecca Aviation Services Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Aero Cabin Solutions SAS (ACS), pakar dalaman pesawat dari Perancis yang mempunyai pengalaman industri lebih 20 tahun.
Di bawah MoU itu, Pecca Aviation dan ACS merancang untuk bekerjasama dalam menyediakan pelbagai penyelesaian dalaman pesawat dan perkhidmatan berkaitan untuk memenuhi permintaan pasaran penerbangan Asia Pasifik.
Inisiatif utama di bawah MoU ini ialah menubuhkan pusat rumusan pesawat sehenti yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia yang akan membekalkan sarung tempat duduk upholsteri dan mengurus, membaiki dan memperbaharui bahagian dalam pesawat untuk pelanggan dari seluruh Asia Pasifik, di bawah keupayaan yang diluluskan oleh Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA).
Pusat ini juga akan menyediakan tempat penyimpanan untuk peralatan kabin pesawat di bawah stok konsainan.
Butiran lanjut mengenai kerjasama antara Pecca Aviation dan ACS akan ditentukan kemudian, sementara menunggu persetujuan muktamad antara kedua-dua syarikat.
Pengarah Eksekutif Pecca Group Berhad, Teoh Zi Yi berkata, MoU ini merupakan langkah seterusnya dalam rancangan syarikat untuk meluaskan jangkauan global Pecca Aviation.
Pecca mempunyai keupayaan yang terbukti dalam pengeluaran sarung tempat duduk upholsteri pesawat dan produk dalaman lain yang berkaitan, manakala kecekapan teras ACS melibatkan penyelenggaraan, konfigurasi semula dan pengubahsuaian keseluruhan bahagian dalam pesawat.
"Dengan bekerjasama, kami akan dapat menawarkan rangkaian perkhidmatan dan penyelesaian yang komprehensif, memacu cadangan nilai kami ke pasaran penerbangan.
"Dari perspektif Pecca, kejayaan perkongsian strategik ini akan membolehkan kami untuk terus menembusi pasaran upholsteri penerbangan margin yang lebih tinggi, dan mempercepatkan pertumbuhan hasil Kumpulan," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Ditubuhkan pada Mac 2003, ACS merupakan sebuah syarikat Perancis milik persendirian yang mengkhusus dalam konfigurasi semula kabin pesawat komersial, pengubahsuaian tempat duduk penumpang dan pemasaran semula
ACS mempunyai lebih daripada 20 tahun pengalaman dalam penyelenggaraan, pengubahsuaian, reka bentuk, kejuruteraan, pensijilan dan perdagangan peralatan kabin pesawat, mengendalikan ibu pejabat seluas 7,000 kaki persegi di Lapangan Terbang Montpellier Perancis. ACS juga menyediakan pemeriksaan kabin untuk syarikat pemajakan pesawat dan syarikat penerbangan di seluruh dunia.
Pangkalan pelanggan ACS termasuk syarikat penerbangan, syarikat pemajakan pesawat utama, dan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) global.
Pelanggan utamanya termasuk tetapi tidak terhad kepada Macquarie Group, CCB Financial Leasing Corporation dan Garuda Indonesia. - DagangNews.com








