KUALA LUMPUR 15 Ogos - Payments Network Malaysia (PayNet) melancarkan X2 (eXperimentation eExchange) Hackathon, satu inisiatif terobosan bertujuan memupuk bakat pelajar Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) dalam industri perkhidmatan kewangan (FSI) pada Rabu.
Menurut syarikat teknologi kewangan itu, lebih 125 pelajar sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) mnyertai acara hackathon itu.
Acara anjuran Paynet itu pada tahun ini mengetengahkan komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang lebih meluas melalui PayNet Akar.
Antara cabaran yang dikemukakan kepada pelajar adalah berkaitan topik industri kritikal seperti memperkemaskan akses pembiayaan mikro bagi perniagaan kecil, menambah baik proses pembayaran kerajaan, meningkatkan literasi kewangan dan pendidikan, memajukan keselamatan transaksi digital dan pencegahan penipuan.
Selain menawarkan pengalaman praktikal, kerjasama dan peluang membina rangkaian serta mendedahkan mereka kepada teknologi baharu, acara itu yang juga merupakan platform inovasi dan pembinaan portfolio pelajar.
Kata Paynet, 125 peserta itu diberikan hanya 24 jam untuk menyumbang serta membangunkan idea dan membentangkan penyelesaiaan inovatif kepada barisan hakim.
“Bimbingan dari para hakim akan meningkatkan kualiti penyelesaian yang dibentangkan oleh pelajar dan menawarkan pengalaman pembelajaran yang tidak ternilai dalam menyediakan peserta untuk cabaran masa depan dalam FSI,” ujarnya.
Selain itu, Paynet menekankan acara itu merupakan salah satu pendekatan yang menggalakkan kepelbagaian pemikiran dan meningkatkan kreativiti, sekaligus menetapkan penanda aras baharu untuk hackathon di rantau itu.
Pengarah Kanan PayNet Akar, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Prof. Jun Maria Tan Abdullah berkata, acara itu merapatkan jurang akademik dengan industri serta menawarkan pembelajaran berasaskan pengalaman yang dibimbing oleh pemimpin industri dan ahli akademik.
“Inisiatif ini meningkatkan pemahaman mahasiswa tentang cabaran industri dan membolehkan mereka melibatkan diri dalam aktiviti berorientasikan penyelesaian.
“Ia adalah bahagian penting dalam komitmen PayNet Akar untuk memupuk bakat baru dalam industri perkhidmatan kewangan,” ulas beliau.- DagangNews.com








