Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 19 Ogos - Pasaran buruh negara menyaksikan kemerosotan pada suku kedua 2020 susulan kesan pandemik COVID-19.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kemerosotan tersebut lebih terserlah pada dua bulan pertama suku kedua 2020 iaitu April dan Mei yang memberi kesan kepada pasaran buruh.
"Kebanyakan aktiviti ekonomi tertangguh pada April dan seterusnya diberi kelonggaran beroperasi secara beransur-ansur sepanjang bulan Mei dan Jun.
"Secara keseluruhan, perkara ini menyebabkan jumlah penduduk bekerja jatuh kepada 14.88 juta orang, manakala kadar pengangguran meningkat kepada 5.1% pada suku kedua 2020," jelasnya menerusi laporan Sorotan Pasaran Buruh Suku Kedua 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Laporan tersebut adalah laporan kedua setelah edisi pertama diterbitkan pada Mei 2020.
Tambah beliau lagi, penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan menurun terutamanya dalam penginapan, makanan & minuman dan kesenian, hiburan dan rekreasi.
Manakala penduduk bekerja dalam aktiviti e-dagang, perkhidmatan penghantaran dan aktiviti berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi pula meningkat.
Tegas beliau, bagaimanapun, penawaran buruh menunjukkan peningkatan di akhir suku kedua 2020.
"Di sektor swasta, permintaan buruh adalah lebih rendah dengan jumlah jawatan menurun sebanyak 236,000 kepada 8.38 juta di samping kekosongan berkurang sebanyak 48,000 kepada 170,000 jawatan.
"Namun, 12,000 jawatan masih diwujudkan dengan sebahagian besarnya adalah pekerja separuh mahir," katanya lagi.
Mengulas berkaitan impak prestasi ekonomi Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) suku kedua 2020, beliau memberitahu, produktiviti buruh yang diukur menggunakan nilai ditambah per pekerja jatuh 16.0% kepada RM19,455 per pekerja dan pekerja turun 1.3%.
Sebaliknya produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja meningkat 15.6% dengan RM46 per jam susulan daripada kejatuhan jumlah jam bekerja sebanyak 28.2% pada suku kedua 2020.
Melalui inisiatif kerajaan termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN Plus dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dapat membantu perniagaan untuk mengekalkan pekerja.
"Di akhir suku kedua, lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula, dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan dalam pasaran buruh," katanya. - DagangNews.com