KUALA LUMPUR 2 Feb - Paragon Globe Berhad (PGB) menjalinkan kerjasama dengan Solarvest Holdings Berhad (Solarvest) berhubung pembangunan kawasan perindustrian berteraskan tenaga boleh baharu (RE) di Johor.
Memorandum persafahaman (MoU) kedua-dua pihak itu meliputi pembinaan kilang-kilang yang siap dilengkapi tenaga solar dan perbandaran perindustrian hijau di Johor.
Penglibatan Solarvest dalam projek itu akan dibiayai menerusi program kewangan syarikat, Powervest solar yang membolehkan PGB menerapkan penyelesaian RE di perbandaran yang akan dibangunkan dengan pengeluaran modal awal sifar.
Projek itu juga melibatkan pembangunan bercampur industri dan komersial dan kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV).
Apabila siap, projek tersebut dijangka menjana kira-kira 12.5 MWp dalam kapasiti RE, menjadikannya perbandaran perindustrian yang paling hijau dan cekap tenaga.
Projek PGB ini berkeleluasan kira-kira 141 ekar pembangunan perindustrian hijau yang merupakan antara terbesar di Johor - melengkapkan wawasan menjadikan Johor pemain utama dalam sektor RE dan tenaga solar.
Pengerusi Eksekutif PGB, Datuk Sri Edwin Tan Pei Seng berkata, visi untuk membangunkan perbandaran industri yang siap dilengkapi tenaga solar dan mampan di Johor Bahru membezakan PGB sebagai pemaju yang prihatin untuk menyumbang kepada negeri ini sebagai hab RE.
"Kami percaya projek ini mampu menarik tambahan pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri ini yang pada 2022 telah menarik FDI sebanyak RM70.6 bilion – yang paling banyak berbanding semua negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, RE dan EV menjadi dua fokus utama bagi membolehkan Johor mencapai sasaran KDNK sebanyak RM260 bilion menjelang 2030.
"Inisiatif utama seperti Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura akan menarik pelaburan untuk pembangunan infrastruktur di wilayah ini yang dengan itu mewujudkan limpahan kepada industri RE.
"Kerjasama Solarvest dengan PGB mengambil lonjakan ke hadapan dalam merealisasikan matlamat “Johor Green Deal” dalam mempercepatkan peralihan tenaga dalam bangunan komersial dan perindustrian di rantau ini," jelasnya.- DagangNews.com








