Trend AI & tenaga yang mempengaruhi pusat data pada 2025 - Pandangan Schneider Electric | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Trend AI & tenaga yang mempengaruhi pusat data pada 2025 - Pandangan Schneider Electric

Oleh Adrian Koh, Naib Presiden Perniagaan Malaysia, Secure Power, Schneider Electric

Tahun 2024 menyaksikan pelbagai trend transformatif, kemajuan inovatif dan beberapa kejutan sepanjang tahun. Malaysia kini terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab utama pusat data, sekali gus membuka laluan kepada kemajuan lebih besar pada 2025.

 

Untuk tahun kedua berturut-turut, Malaysia menduduki tempat pertama dalam kalangan negara Asia Tenggara dalam laporan SEA Knight Frank, dengan pengambilan pusat data tahunan sebanyak 429 megawatt — hasil pelaburan strategik daripada gergasi teknologi seperti Microsoft, Amazon Web Services dan Google.

 

Seiring dengan pertumbuhan ini, penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) berkembang pesat sepanjang 2024, mengubah keperluan pengkomputeran, merangsang pertumbuhan dan inovasi.

 

Dalam usaha memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam perlumbaan AI, langkah proaktif telah diambil menerusi penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) tahun lalu sebagai pihak berkuasa pusat untuk memberikan hala tuju dalam gelombang inovasi ini dan menangani ketidaktentuan susulan perkembangan pesat AI.

 

Pada teras pembangunan AI ini adalah pusat data, infrastruktur pengkomputeran berakselerasi serta penyelesaian kuasa dan penyejukan yang diperlukan untuk menyokong beban kerja AI yang meningkat.

 

Namun, ini menimbulkan persoalan kritikal: sejauh mana mampankah pelaburan intensif sumber ini? Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar baru-baru ini menegaskan, meskipun Malaysia menarik syarikat teknologi, kerajaan kekal berhati-hati dan lebih selektif dalam meluluskan projek baharu berikutan tekanan terhadap sumber tenaga dan air. Bagi menangani cabaran ini, strategi pengurusan permintaan menjadi fokus kerajaan dalam usaha mencapai matlamat sifar bersih karbon.

 

Menjelang 2025, lonjakan permintaan AI yang berterusan dan trend infrastruktur digital yang membentuk tahun 2024 dijangka menjadikan tahun ini sekali lagi sebagai tahun transformatif, dipenuhi inovasi, pertumbuhan dan kemajuan mampan dalam pelbagai bidang.

 

Sebagai contoh, konsep agentic AI kini mendapat perhatian meluas kerana keupayaannya melaksanakan tugas kompleks secara autonomi. Berikut adalah beberapa trend utama yang selari dengan pandangan rakan sekerja saya – Steven Carlini, Ketua Advokat, Pusat Data dan Naib Presiden AI, Secure Power Schneider Electric.

 

Seni Keseimbangan Grid

IDC menjangkakan menjelang 2027, pusat data akan menggunakan 2.5% elektrik global, manakala baki 97.5% diagihkan kepada sektor lain seperti bangunan, pembuatan, pengangkutan dan tenaga.

 

Permintaan tenaga yang semakin meningkat ini sudah dirasai di beberapa kawasan seperti Johor, di mana Datuk Bandar Johor Bahru menyatakan bahawa walaupun pusat data berkembang pesat, bekalan air dan elektrik kekal sebagai cabaran utama. Penggunaan tenaga yang tinggi oleh pusat data memberi tekanan kepada infrastruktur tempatan, sekali gus menuntut penyelesaian mampan dalam pengurusan tenaga dan air.

 

Kerjasama antara utiliti dan pusat data dijangka berkembang dengan lebih meluas, memanfaatkan AI untuk mengoptimumkan profil kuasa dan mengurus operasi luar grid menggunakan sumber sandaran.

 

Kerjasama ini turut dijangka dipercepatkan, didorong keperluan menstabilkan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti angin dan solar serta integrasi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) dalam pusat data.

 

Pengendali pusat data di Malaysia berpeluang mendapat manfaat daripada program Solar Skala Besar (LSS5) yang akan datang, di mana kerajaan menawarkan perjanjian konsesi pihak ketiga bagi pemasangan BESS — sekali gus membuka peluang kepada penyelesaian tenaga yang lebih mampan dan boleh dipercayai.

 

Meneroka Sempadan Baharu Tenaga

Berikutan lonjakan permintaan tenaga pusat data, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof baru-baru ini menyatakan bahawa Malaysia akan menilai semula inisiatif tenaga nuklear berdasarkan kajian terperinci dan piawaian antarabangsa untuk meningkatkan keupayaan tenaga sendiri.

 

Ini seiring langkah gergasi teknologi seperti Google dan Amazon yang mula memperoleh loji kuasa nuklear bagi menjamin sumber tenaga stabil, dengan sesetengahnya telah mengambil alih loji kuasa tersebut sejak akhir tahun lalu.

 

Turbin gas semula jadi mungkin menjadi pilihan jangka masa terdekat bagi tapak pusat data, namun masa depan dijangka menyaksikan penggunaan Small Modular Reactors (SMR) atau reaktor modular kecil. Sekiranya diluluskan, SMR menawarkan alternatif penjanaan tenaga yang lebih kos efektif dan fleksibel, terutama di kawasan yang memerlukan bekalan kuasa khusus.

 

AI Dipacu Tanpa Batasan – Impaknya Melepasi 2025

Dengan syarikat AI semakin rancak melabur, pengendali pusat data dan penyedia kolokasi kini memberi tumpuan kepada kapasiti pengkomputeran berakselerasi yang dirancang khusus untuk memenuhi keperluan AI.

 

Trend ini mencerminkan penggunaan AI yang semakin meluas merangkumi perniagaan, kerajaan dan pelbagai industri — sekali gus mendorong keperluan infrastruktur pusat data yang lebih besar.

 

Di Malaysia, AI juga mula menembusi sektor tradisional, contohnya sebuah kilang kelapa sawit di Kuala Kangsar yang baru-baru ini dinaik taraf menjadi fasiliti pintar, memanfaatkan sensor AI, teknologi canggih dan alat ramalan untuk meningkatkan kecekapan pemprosesan minyak sawit.

 

AI dijangka merevolusikan industri pusat data, memacu perubahan segera dan kemajuan jangka panjang. Potensi ini hanya dapat direalisasikan menerusi komitmen kolektif terhadap amalan mampan serta penggunaan AI bagi meningkatkan kecekapan.

 

Ini amat relevan memandangkan syarikat Malaysia kini perlu bersedia untuk mematuhi Akta Kecekapan dan Penjimatan Tenaga 2024 (EECA) yang akan mengawal selia penggunaan tenaga dan menggalakkan penjimatan tenaga merentasi pelbagai sektor.

 

Melentur Lengkungan Penggunaan Tenaga

Selaras dengan evolusi AI, Schneider Electric memperkenalkan pendekatan berasaskan sains untuk "melentur lengkungan" penggunaan tenaga. Teras kepada usaha ini adalah konsep energy intelligence for sustainable AI yang mengintegrasikan aplikasi berasaskan AI dalam infrastruktur pusat data untuk menyokong matlamat kemampanan.

 

Kami turut mempercepatkan penyelesaian pusat data sedia AI melalui beberapa pengumuman baharu, termasuk kerjasama dengan NVIDIA bagi membangunkan reka bentuk rujukan pusat data yang dioptimumkan untuk kluster AI yang menggunakan penyejukan cecair.

 

Bagi menangani isu suhu tinggi susulan beban kerja berketumpatan tinggi, kami turut memeterai perjanjian untuk mengambil alih pegangan majoriti dalam Motivair Corporation. Langkah ini mengembangkan portfolio penyejukan cecair kami, termasuk penyejukan langsung ke cip (direct-to-chip liquid cooling) dan penyelesaian pengurusan haba berkapasiti tinggi.

 

Walaupun kami giat memacu inovasi AI, komitmen kami kekal untuk membolehkan AI di mana-mana menerusi penyelesaian infrastruktur hujung-ke-hujung yang menyeluruh. Antara pencapaian penting ialah Galaxy VXL UPS, inovasi terbaharu dalam teknologi UPS Schneider Electric.

 

Meneruskan legasi 50 tahun inovasi Galaxy, Galaxy VXL merupakan UPS modular kompak pertama dalam industri yang direka khas untuk pusat data AI. UPS 1.25 megawatt ini menawarkan kuasa lebih tinggi dengan penjimatan ruang sehingga 70%. Reka bentuknya yang boleh diskala menyokong beban kerja AI yang kian berkembang, dengan ciri toleransi beban AI, keupayaan kuasa puncak serta operasi peak shaving.

 

Jejak tenaga dan alam sekitar AI kini berkembang pada kadar yang belum pernah berlaku sebelum ini. Justeru, amat penting untuk mengurangkan trajektori ini dengan meneroka pendekatan baharu bagi mendekarbonkan pusat data dan infrastruktur digital.

 

Merealisasikan visi ini memerlukan strategi komprehensif merangkumi seluruh rantaian — daripada grid ke cip, penyejuk, dan seterusnya. - DagangNews.com