Penyenaraian semula MMC Port berpotensi hidupkan semula minat pelabur institusi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penyenaraian semula MMC Port berpotensi hidupkan semula minat pelabur institusi

SELEPAS bertahun-tahun sentimen pasaran yang suram dan deretan penyenaraian syarikat berskala kecil, MMC Port Holdings Bhd kini bersiap sedia untuk disenaraikan semula dalam apa yang berkemungkinan menjadi IPO paling penting di Malaysia dalam lebih sedekad.

 

Penyenaraian yang sedang diperhatikan dengan teliti oleh pemerhati pasaran ini mungkin menjadi pemangkin yang diperlukan Bursa Malaysia untuk menetapkan semula jangkaan pasaran dan menghidupkan semula minat institusi.

 

Sebagai pengendali pelabuhan terbesar dan paling bersepadu di negara ini, MMC Port dijangka menawarkan sehingga 4.27 bilion saham sedia ada, bersamaan 30% daripada jumlah saham terbitannya. Saham ini akan dijual oleh MMC Corp Bhd.

 

Daripada jumlah tersebut, 3.99 bilion saham akan diperuntukkan kepada pelabur institusi manakala 286.1 juta saham ditawarkan kepada pelabur runcit.

 

Menariknya, syarikat ini tidak akan menerbitkan saham baharu, justeru tidak akan menerima sebarang hasil daripada IPO ini.

 

Kesemua dana yang dijana, dianggarkan antara RM6 bilion hingga RM8.4 bilion bergantung kepada harga, akan pergi terus kepada pemegang saham penjual.

 

Dalam prospektus drafnya, MMC Port menyatakan bahawa ia tidak memerlukan pembiayaan ekuiti tambahan pada masa ini, dan mempunyai modal kerja yang mencukupi untuk beroperasi secara mampan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

Syarikat itu dijangka disenaraikan seawal September 2025, tertakluk kepada keadaan pasaran dan kelulusan pengawalseliaan.

 

 

mmc

 

 

Kumpulan Pelabuhan Terbesar di Malaysia

Kumpulan ini mengendalikan portfolio aset pelabuhan strategik yang menyeluruh di seluruh Malaysia iaitu

  • Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor, sebuah hab transhipment utama;
     
  • Pelabuhan Johor yang menyokong operasi kargo pintu masuk;
     
  • Northport dan Southpoint di Pelabuhan Klang, Selangor;
     
  • Pelabuhan Pulau Pinang di utara;
     
  • Pelabuhan Tanjung Bruas di Melaka;
     
  • serta Pelabuhan Andaman di Kedah yang mengendalikan aktiviti pemindahan kapal ke kapal.
     
  • Tiga terminal pelancongan kapal persiaran yang menyokong sektor pelancongan dan penumpang negara.

 

Kerajaan, melalui Menteri Kewangan (Diperbadankan), memegang satu saham khas dalam empat anak syarikat utama ini, yang memberikannya hak untuk melantik ahli lembaga pengarah di setiap syarikat tersebut — menandakan kepentingan strategik operasi MMC Port.

 

Dari sudut kewangan, prestasi MMC Port adalah kukuh walaupun tidak begitu menonjol. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, syarikat mencatatkan keuntungan bersih RM636.6 juta, menurun 9.2% berbanding RM701.1 juta pada 2023.

 

Bagaimanapun, hasil meningkat hampir 10% kepada RM4.36 bilion pada 2024.

 

Penurunan keuntungan bersih itu disebabkan oleh peningkatan kos operasi dan persekitaran perdagangan yang lebih mencabar.

 

Namun begitu, syarikat berjaya menjana lebih RM2 bilion aliran tunai operasi dan pihak pengurusan yakin dengan kedudukan kecairan semasanya, yang disokong oleh baki tunai dan kemudahan kredit yang belum digunakan.

 

IPO berpotensi cecah RM7 bilion

Apa yang membezakan IPO ini daripada puluhan penyenaraian sebelum ini adalah dari segi skala, profil dan potensi impaknya terhadap pasaran.

 

Jika ia mencapai penilaian sasaran sehingga AS$7 bilion, atau kira-kira RM33 bilion, MMC Port boleh menjadi calon kuat untuk dimasukkan ke dalam FBM KLCI — indeks penanda aras Bursa Malaysia.

 

Perkara ini sahaja akan meletakkan penyenaraian tersebut di atas deretan penyenaraian berskala kecil yang telah mendominasi Pasaran ACE dan LEAP dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

 

Justera, penyenaraian yang bakal tiba ini boleh menyuntik nafas baharu kepada Bursa Malaysia.

 

“Jika IPO ini menunjukkan prestasi baik, kami percaya ia boleh membantu meningkatkan sentimen di Bursa Malaysia ke tahap tertentu,” kata Pengurus Portfolio Tradeview Capital, Neoh Jia Man.

 

“Memandangkan saiz dan profilnya, penyenaraian ini dijangka menarik minat pelabur dan aktiviti dagangan yang signifikan, terutamanya memandangkan MMC Port dijangka menjadi calon kuat untuk dimasukkan ke dalam KLCI.”

 

Hakikatnya, pasaran ekuiti Malaysia telah kekurangan IPO berskala besar yang menarik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Walaupun jumlah penyenaraian baharu kekal sihat — dengan lebih 60 dijangka tahun ini — pasaran telah dikritik kerana hanya menawarkan IPO yang rendah peratusan pegangan saham dan kecairan, yang tidak memenuhi keperluan pelabur institusi.

 

Modal pasaran keseluruhan Bursa Malaysia berjumlah sekitar RM1.88 trilion pada April 2025, dan penyertaan asing — yang kekal lemah secara struktural pada sekitar 19.6% — masih ketinggalan berbanding rakan serantau walaupun terdapat aliran masuk baharu.

 

 

PENANG PORT

 

 

Isu Penilaian

Namun begitu, penilaian kekal menjadi persoalan utama.

 

Westports Holdings Bhd, rakan setara MMC Port yang telah disenaraikan, kini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) hadapan sekitar 20 kali, dipacu oleh sentimen positif susulan semakan tarif baru-baru ini.

 

Pemerhati pasaran berkata MMC Port mensasarkan penilaian yang membayangkan P/E hadapan melebihi 25 kali — sesuatu yang mungkin dianggap terlalu tinggi oleh sesetengah pelabur.

 

“Kami menjangkakan MMC Port akan disenaraikan dengan penilaian melebihi RM28 bilion, yang membawa kepada P/E hadapan lebih 25 kali.

 

“Ia mungkin tidak begitu menarik kepada pelabur, terutamanya berbanding Westports. Tambahan pula, selera pelabur boleh terjejas oleh ketidaktentuan perdagangan global, khususnya kebimbangan berterusan terhadap dasar tarif Amerika Syarikat,” kata Neoh.

 

Daya Tarikan Jangka Panjang

Walaupun begitu, MMC Port menawarkan kestabilan dan daya tarikan jangka panjang.

 

Pangkalan pendapatan yang pelbagai, kedudukan pasaran yang kukuh dan lokasi strategik di sepanjang Selat Melaka menjadikannya pelaburan infrastruktur yang menarik.

 

Syarikat ini juga mendapat manfaat daripada hubungan kukuh dengan syarikat perkapalan utama, akses bersepadu ke zon perindustrian, serta konsesi pelabuhan jangka panjang yang mengurangkan turun naik pendapatan.

 

Selaras dengan amalan terbaik global, MMC Port akan mendapatkan pelabur teras (cornerstone investors) bagi menjamin kestabilan harga dan kredibiliti sebelum penyenaraian. Ia juga akan menawarkan pilihan lebihan langganan sebanyak 4.5% untuk memenuhi permintaan tambahan.

 

Urus niaga ini diketuai oleh CIMB Investment Bank Bhd sebagai penasihat utama dan penaja jamin tunggal, dengan CIMB dan HSBC (S) Ltd bertindak sebagai penyelaras global bersama dan ejen penjual buku. Firma undang-undang yang terlibat termasuk Lee Choon Wan & Co, Kadir Andri & Partners, serta firma antarabangsa Latham & Watkins dan Baker McKenzie Wong & Leow.

 

MMC Corp, yang mengawal MMC Port, pernah disenaraikan di Bursa Malaysia pada 1977 sebelum diswastakan pada Disember 2021 dengan nilai pasaran RM6.1 bilion.

 

Penyenaraian semula aset pelabuhan utamanya pada penilaian berpotensi lima kali ganda adalah satu kenyataan kukuh mengenai usaha penciptaan nilai kumpulan dan keyakinan terhadap pasaran awam.

 

Namun begitu, penganalisis memberi amaran agar tidak membuat andaian berlebihan.

 

“Kami tidak menjangkakan ia akan mencetuskan gelombang IPO berskala besar kecuali prestasinya amat memberangsangkan,” kata Neoh. “Begitu juga, kami tidak percaya penyenaraian ini sahaja mencukupi untuk mencetuskan penarafan semula pasaran ekuiti Malaysia secara menyeluruh.”

 

Namun begitu, MMC Port boleh menetapkan satu duluan penting.

 

Penyenaraian yang berjaya boleh menggalakkan konglomerat lain atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mempertimbangkan pendekatan pemisahan dan penyenaraian aset matang — satu pendekatan yang sudah menjadi kebiasaan di Singapura dan Thailand — bagi memperdalam pasaran modal Malaysia dan meningkatkan tarikan kepada pelabur jangka panjang.

 

 

AAX

 

 

Buat masa ini, MMC Port adalah ujian penting.

 

Saiz, sektor dan kepentingannya yang strategik memberikannya potensi untuk menghidupkan semula keyakinan terhadap Bursa Malaysia.

 

Dalam pasaran yang telah lama ketandusan penyenaraian berkualiti tinggi dan berskala besar, MMC Port menawarkan peluang yang jarang untuk mengubah naratif kembali ke arah pertumbuhan, kedalaman dan kekuatan institusi.

 

Sama ada ia menjadi permulaan bab baharu atau sekadar kejayaan terpencil akan bergantung bukan sahaja kepada prestasi pada hari penyenaraiannya, tetapi juga keupayaannya untuk menjana pulangan stabil dan mendorong tindakan susulan dalam pasaran. - DagangNews.com

 

Artikel asal berbahasa Inggeris ditulis oleh Rupinder Singh di The Malaysian Reserve