Maahad Tahfiz Mandarin (MTM) Pulau Ketam baru-baru ini, menjadi lokasi pelaksanaan Program Tanggungjawab Sosial University (USR) anjuran Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil, yang julung kali diadakan dengan kerjasama strategik bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Green Leaf Consultancy Sdn. Bhd. (GLC).
Program ini bertujuan memperkenalkan integrasi antara ilmu Tahfiz dan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selaras dengan usaha melahirkan generasi ilmuan yang seimbang dalam aspek intelektual dan rohani.
Melalui pelbagai aktiviti interaktif dan forum ilmiah, program ini membuka ruang kepada pelajar tahfiz untuk meneroka potensi ilmu STEM sebagai pelengkap kepada pengajian berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.
Program USR yang pertama kali diadakan ini melibatkan kerjasama antara pihak universiti, rakan strategik, dan industri, dengan objektif utama untuk mendekatkan para pelajar Maahad Tahfiz dengan dunia ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta meneroka sinergi antara ilmu tahfiz dan STEM.
Pendekatan ini bertujuan menyepadukan bidang STEM bersama kurikulum tahfiz yang telah mereka pelajari. Hasilnya, para pelajar tidak hanya memperoleh kepakaran dalam ilmu-ilmu asas tahfiz berdasarkan al-Quran dan As-Sunnah, tetapi juga memperkembangkan kemahiran dalam bidang STEM, menghasilkan profesional yang memiliki latar belakang yang seimbang antara ilmu dunia dan akhirat.
Inisiatif ini berpotensi membentuk golongan generasi ilmuan tahfiz kini yang memiliki pengetahuan luas dalam bidang STEM, sekaligus menambah nilai kepada masyarakat melalui profesional yang tidak hanya menguasai ilmu sains dan teknologi, tetapi juga berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Islam.
Pendekatan ini tidak hanya bertujuan melahirkan individu yang bijaksana dalam pelbagai bidang, tetapi juga mempunyai nilai jati diri yang kukuh, membentuk insan yang holistik dan berintegriti.

Satu daripada agenda dan komponen utama dalam program ini adalah sesi forum yang dihadiri oleh tiga panelis utama melibatkan; Syazuan Abd. Latip (Pensyarah Kanan, Unit Fizik, Pusat Asasi UiTM),Khairul Nizam Ismail (Ketua Deposit Negeri, Cawangan BSN Selangor) dan Redza Abd. Malek (Ketua Pegawai Eksekutif, Green Leaf Consultancy Sdn. Bhd.).
Forum ilmiah yang dijalankan secara asasnya memberi penekanan kepada kepentingan mengintegrasikan ilmu tahfiz dengan cabang-cabang ilmu STEM bermula dari awal pendidikan sehingga kepentingannya dalam dunia kerjaya kelak.
Para peserta diberi pendedahan kepada potensi integrasi ini, yang bukan sahaja mempersiapkan pelajar tahfiz menghadapi dunia kerjaya profesional, tetapi juga memberikan mereka asas yang kukuh dalam bidang sains dan teknologi.
Sinergi antara kedua-dua bidang ini adalah penting untuk memastikan kelangsungan ilmu yang dapat menyumbang kepada kemajuan masyarakat yang memiliki minda kelas pertama dalam jangka masa panjang kini dan kelak.
Pengalaman praktikal dan pendekatan amali berasaskan aplikasi kit pengajaran Fizik turut dilaksanakan semasa sesi latihan dalam kumpulan (LDK), di mana pelajar diberi peluang untuk mengendalikan kit pengajaran fizik yang dibawa oleh pensyarah dari Unit Fizik Pusat Asasi UiTM.
Aktiviti ini berfungsi memperkenalkan pelajar kepada kaedah pengendalian peralatan sains secara amali, sekaligus memberikan mereka pengalaman langsung dalam menyelesaikan masalah berkaitan fizik.
Keberhasilan sesi LDK ini terbukti apabila pelajar menunjukkan minat yang mendalam dan aktif berinteraksi dengan fasilitator, mengajukan pelbagai soalan berkaitan ilmu fizik.

Penglibatan aktif dari rakan industri melibatkan pihak BSN dan GLC Sdn. Bhd turut menambah dan membakar semangat para pelajar untuk terus mengeksplorasi bidang STEM dengan penekanan utama kepada pentingnya pemahaman dalam sains dan teknologi sejak dari peringkat awal pendidikan.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai matlamat utama untuk membudayakan STEM dalam kalangan pelajar tahfiz.
Dengan usaha bersama antara pihak universiti, industri, dan masyarakat, ia telah membuka ruang dan peluang kepada para pelajar untuk melihat STEM bukan sebagai bidang yang asing, tetapi sebagai suatu potensi kerjaya yang dapat melengkapkan ilmu mereka dalam tahfiz.
Maklum balas yang diterima sangat memberangsangkan, dengan peserta mengakui keberkesanan program ini dalam memperluas wawasan mereka mengenai peluang dalam bidang STEM.
Pihak BSN dan GLC Sdn. Bhd. juga telah menyatakan komitmen mereka untuk terus bekerjasama dengan Pusat Asasi UiTM pada masa akan datang bagi menyokong tujuan mulia ini. Ini dengan jelas menunjukkan sokongan yang jitu dari sektor industri terhadap inisiatif pengintegrasian STEM dalam pendidikan tahfiz.
Melalui kerjasama ini, masyarakat umum juga diberikan pendedahan tentang pentingnya STEM dalam era moden ini. Pendekatan seperti ini tidak hanya memperkenalkan konsep STEM kepada pelajar di sekolah atau universiti, tetapi juga merakyatkan ilmu sains dan teknologi kepada golongan yang lebih luas, tanpa mengira latar belakang.
Program ini sejajar dengan misi dan visi dasar pendidikan Madani yang menekankan keseimbangan antara pembangunan intelektual dan rohani dalam diri setiap individu.
Dengan kejayaan pelaksanaan program ini, diharapkan lebih banyak lagi program seumpama ini dapat dianjurkan pada masa akan datang, di mana pelbagai pihak termasuk sektor akademik, industri, dan badan bukan kerajaan dapat bekerjasama secara lestari untuk mengetengahkan kepentingan STEM secara kolektif.
Ini akan memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat secara keseluruhan, serta memastikan kelangsungan dan pengembangan bidang ilmu sains dan teknologi dalam kalangan generasi muda di negara ini.
Sebagai rumusan, program USR ini bukan sahaja memberikan pendedahan awal berkenaan ilmu STEM terhadap para pelajar tahfiz, malahan telah menunjukkan dengan jelas bagaimana kolaborasi antara sektor akademik, industri, dan komuniti dapat memberikan impak yang besar dalam memperkasa pendidikan dan kemajuan negara.
Dengan penekanan kepada nilai-nilai mulia serta pendidikan yang holistik, program ini berpotensi untuk melahirkan profesional tahfiz yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu agama, tetapi juga mampu menyumbang khususnya kepada pembangunan masyarakat melalui kepakaran dalam bidang STEM. - DagangNews.com








