Dunia sedang memasuki satu fasa peralihan yang lebih mendalam daripada sekadar perubahan ekonomi biasa. Ia merupakan peralihan struktur kuasa global daripada dunia lama yang berpusat kepada Barat kepada satu susunan baharu yang lebih tersebar, iaitu dunia multipolar yang ditentukan oleh persaingan teknologi, geopolitik serta aliran modal yang semakin strategik.
Dalam keadaan ini, dunia Selatan tidak lagi boleh dilihat sebagai istilah geografi semata-mata atau kategori negara membangun, sebaliknya sebagai naratif kebangkitan yang mencabar pusat lama dunia.
Ia menjadi bahasa politik baharu untuk menggambarkan peralihan kuasa ekonomi dan simbolik ke Asia, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Latin, dengan ASEAN muncul sebagai salah satu rantau paling penting dalam peta dunia baharu ini.
Malaysia berada tepat di tengah-tengah perubahan ini. Namun kedudukannya tidak boleh difahami hanya melalui angka pelaburan atau pertumbuhan ekonomi semata-mata. Ia perlu dibaca melalui perubahan logik aliran modal global itu sendiri.
Jika globalisasi lama berasaskan idea bahawa modal bergerak bebas tanpa sempadan, dunia hari ini bergerak ke arah geoekonomi di mana modal semakin terikat dengan geopolitik, keselamatan rantaian bekalan dan risiko strategik.
Perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China, konflik Ukraine, ketegangan di Asia Barat khususnya perang Iran–AS/Israel serta sekatan teknologi semikonduktor telah mengubah cara modal berfikir dan bergerak.
Pelabur tidak lagi hanya mencari kos paling murah, sebaliknya mencari kestabilan, neutraliti, akses kepada pasaran besar dan jaminan bahawa rantaian bekalan tidak akan terganggu oleh konflik politik.
Dalam logik baharu ini, dunia Selatan muncul sebagai ruang alternatif kepada dominasi lama Barat. China, India, negara Teluk dan ASEAN menjadi pusat graviti baharu yang menarik aliran modal global. Dunia tidak lagi mempunyai satu pusat tunggal, sebaliknya terdiri daripada beberapa pusat yang saling bersaing dan saling bergantung.
Malaysia dalam konteks ini tidak muncul sebagai kuasa besar, tetapi sebagai nod penting dalam jaringan aliran modal tersebut. Kedudukannya sebagai negara yang mempunyai hubungan baik dengan China dan Barat serta peranannya dalam ASEAN menjadikannya ruang neutral yang relatif stabil dalam dunia yang semakin terpecah kepada blok kuasa.
Peralihan Aliran Modal dalam Era Geoekonomi
Aliran modal baharu ini tidak hanya masuk dalam bentuk industri tradisional, bahkan lebih jauh lagi dalam bentuk ekonomi digital dan teknologi masa depan seperti pusat data, semikonduktor, kecerdasan buatan dan infrastruktur awan (cloud).
Malaysia semakin menjadi destinasi bagi infrastruktur digital global kerana ia menawarkan gabungan kestabilan politik relatif, lokasi strategik di Asia Tenggara serta akses kepada pasaran ASEAN yang sedang berkembang.
Dalam erti kata lain, Malaysia sedang beralih daripada ekonomi berasaskan eksport konvensional kepada ekonomi infrastruktur digital global. Namun perubahan ini juga membawa dimensi yang lebih mendalam yang tidak boleh dilihat semata-mata sebagai perkembangan ekonomi.
Daripada sudut semiotik, modal tidak bergerak hanya berdasarkan realiti material seperti wang, tetapi juga berdasarkan simbol dan persepsi. Pelabur global membaca negara melalui naratif kestabilan, imej politik, reputasi diplomatik dan cerita masa depan.
Malaysia sedang dikodkan sebagai simbol kestabilan ASEAN, hab semikonduktor dan pusat data serantau serta ruang neutral dalam persaingan geopolitik AS dan China.
Dalam makna ini, Malaysia bukan sekadar lokasi pelaburan, bahkan sebuah tanda dalam sistem kapitalisme global—tanda kepada “keselamatan modal”.
Persoalan Kritikal
Tetapi di sinilah muncul persoalan yang lebih kritikal. Apabila negara menjadi tanda kepada kestabilan modal global, adakah negara tersebut benar-benar mengawal makna dirinya sendiri atau sekadar menerima makna yang dibentuk oleh sistem global?
Dalam banyak kes, negara-negara Selatan menjadi ruang di mana modal global bukan sahaja masuk, tetapi turut membentuk struktur ekonomi dan teknologi negara tersebut.
Pusat data dibina, kilang semikonduktor didirikan, namun teknologi asas, algoritma, platform dan data sering kekal dimiliki oleh syarikat luar. Ini mewujudkan bentuk pergantungan baharu yang tidak lagi bersifat kolonial tradisional, sebaliknya kolonialisme digital yang lebih halus dan mendalam.
Dalam ekonomi digital, kuasa tidak lagi terletak pada tanah, kilang atau sumber semula jadi semata-mata, tetapi pada data, algoritma, cip, platform dan standard teknologi global. Jika Malaysia hanya menjadi lokasi operasi tanpa penguasaan terhadap lapisan teknologi ini, negara mungkin kekal sebagai infrastruktur kepada kuasa luar.
Meskipun ia memiliki tubuh ekonomi moden, ia tidak semestinya memiliki “roh” sistem tersebut. Dalam bahasa teori, negara sebagai organisma mungkin dibina dengan baik, tetapi persoalan siapa mengawal sistem sarafnya masih terbuka.
Malaysia juga sedang dibentuk oleh geo-naratif dunia multipolar. Dalam dunia ini, kuasa tidak hanya dibina melalui kekuatan ketenteraan atau ekonomi besar, tetapi melalui kedudukan dalam jaringan global. Malaysia muncul sebagai “ruang perantara”, sebuah negara koridor yang menghubungkan China dan Barat, ASEAN dan ekonomi global, serta modal dan pasaran.
Peranan ini menjadikan Malaysia penting walaupun bukan kuasa dominan. Dalam dunia yang tidak lagi mempunyai satu pusat kuasa, nod perantara seperti Malaysia menjadi semakin strategik.
Namun peranan ini hanya stabil jika Malaysia mampu mengurus satu persoalan asas yang lebih besar: adakah ia sekadar menjadi ruang kepada aliran modal global atau mampu menjadi pemain yang membentuk arah aliran tersebut?
Ini memerlukan peralihan daripada sekadar negara penerima pelaburan kepada negara yang membina kapasiti teknologi sendiri, menguasai data, membangunkan ekosistem inovasi serta menentukan standard masa depan dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.
Tanpanya, Malaysia mungkin hanya bergerak mengikut arus modal tanpa mampu mengarahkannya.
Masa Depan Malaysia dalam Dunia Pasca-Barat
Dunia pasca-Barat tidak bermaksud Barat hilang sepenuhnya. Sebaliknya, ia bermaksud tiada lagi satu pusat kuasa tunggal yang menentukan segala-galanya. Kuasa kini tersebar antara AS, China, India, negara Teluk dan jaringan ekonomi serantau seperti ASEAN.
Dalam dunia yang tersebar ini, dunia Selatan bukan lagi pinggiran, sebaliknya medan utama perebutan masa depan ekonomi dunia.
Malaysia berada dalam kedudukan yang jarang berlaku—cukup kecil untuk fleksibel, tetapi cukup strategik untuk menjadi penting.
Akhirnya, masa depan Malaysia dalam aliran modal baharu tidak hanya bergantung kepada keupayaan menarik pelaburan, tetapi lebih penting kepada keupayaan menentukan makna dirinya dalam sistem global.
Sama ada ia kekal sebagai ruang neutral yang dikawal aliran modal luar atau berubah menjadi negara yang mampu mengawal teknologi, data dan naratifnya sendiri, akan menentukan kedudukan sebenar Malaysia dalam dunia pasca-Barat yang sedang terbentuk ini. - DagangNews.com








