Kalau kau duduk di ceruk bandar atau di hujung kampung, Belanjawan kali ini hanyalah angin lalu. Bukan bau wang, tapi bau kentut janji lama yang tak pernah tertunai.
Perdana Menteri bentang angka, para menteri tepuk tangan, tetapi di pasar-pasar, di kedai-kedai kopi dan di pintu pagar kilang, nafas ekonomi kita masih semput.
Ekonomi kita bukan perlahan sebab rakyat malas bekerja. Ia perlahan sebab semua modal sudah kaku—terkunci, terperap, dan beku dalam simpanan sekelompok kecil manusia yang kaya-raya.
Mereka ini, para gergasi harta, hanya menyaksikan kekayaan mereka melonjak di atas kertas saham dan hartanah, tanpa sedikit pun terkesan dengan cukai yang adil.
Belanjawan yang baru diumumkan?
Ia sekadar ubat nyamuk untuk wabak malaria. Ada bantuan tunai sedikit, ada diskaun cukai untuk sektor tertentu. Semuanya hanya gerak isyarat sopan, tidak lebih daripada itu.
Sementara itu, jurang kaya-miskin di negara ini sudah merobek, menjadi jurang yang dalam. Kita dijanjikan pemulihan ekonomi; yang kita dapat hanyalah ubat selesema.
Mereka kata cukai pendapatan itu sudah cukup. Mereka kata janganlah kacau harta orang yang berusaha. Ini dusta besar yang dimomok oleh sistem yang berat sebelah.
Cukai pendapatan (potongan gaji) ialah cukai ke atas aliran—ke atas peluh kita, ke atas masa yang kita jual kepada majikan. Ia cukai ke atas kerja keras.
Tetapi bagi jutawan dan bilionair, kekayaan utama mereka bukan datang daripada gaji bulanan; ia datang daripada stok—daripada nilai saham yang melonjak, daripada harga tanah dan rumah yang naik melangit, daripada aset yang membiak dalam tidur.
Kekayaan pasif ini selalunya tidak dicukai sehinggalah ia dijual atau dipindahkan. Maknanya, seorang pekerja kilang yang bergaji RM3,000 membayar cukai setiap bulan ke atas semua yang dia peroleh.
Tetapi seorang bilionair yang hartanya naik RM30 juta setahun kerana kenaikan harga saham, tidak membayar satu sen pun ke atas kenaikan RM30 juta itu.
Dosa Sosial
Jadi, Cukai Kekayaan Bersih atau Net Wealth Tax (NWT) bukan lagi soal ekonomi semata-mata. Ia soal moral. Ia pengisytiharan bahawa di negara ini, kita tidak menghormati kekayaan yang dibekukan, tetapi menghargai pengaliran kekayaan yang memberi manfaat kepada semua. Kekayaan yang disimpan tanpa dikongsi ialah dosa sosial.
Jika kita mahu bercakap tentang moral, marilah kita bongkar perdebatan ini hingga ke akar agama dan falsafah keadilan. NWT ini, hakikatnya, ialah penjelmaan sekular kepada prinsip purba yang wujud dalam masyarakat kita: Zakat Harta.
Zakat dikenakan ke atas kekayaan yang telah mencapai tempoh tertentu (haul) dan nisab (nilai minimum), terutamanya Zakat Perniagaan dan Zakat Emas/Perak.
Tujuannya apa? Tujuannya ialah memastikan harta itu tidak hanya berlegar dalam kalangan orang kaya sahaja, tetapi mesti berpindah kepada golongan yang memerlukan. Zakat ialah mekanisme paling awal yang menolak penimbunan harta.
NWT menjalankan fungsi yang sama: ia memaksa modal yang terperap untuk bergerak, untuk dikenakan bayaran atas hak memiliki.
Kalaupun tidak 100 peratus selaras dengan syariat, NWT ialah tuntutan keadilan sosial yang sejajar dengan roh zakat—iaitu memastikan harta berfungsi untuk kebaikan masyarakat.
Jadi, menolak NWT secara total atas alasan apa pun ialah penolakan terhadap prinsip keadilan dalam pengagihan rezeki.
NWT bukan hukuman
Sebaliknya, NWT adalah injap kecemasan untuk menggerakkan semula ekonomi yang terencat.
Bayangkan jika hasil kutipan NWT—yang disasarkan hanya kepada 0.1 peratus paling kaya di negara ini—digunakan untuk tujuan yang spesifik dan berimpak besar. Berdasarkan anggaran konservatif terhadap kekayaan 50 individu terkaya Malaysia, NWT dengan kadar serendah 1.0 peratus boleh menjana sekurang-kurangnya RM4.2 bilion setahun.
Wang ini bukan lagi sekadar duit syiling untuk menampung hutang lapuk atau membayar gaji menteri yang lesu. Kita bercakap tentang kuasa kewangan untuk merombak total infrastruktur negara!
Ini strategi pengagihan kekayaan yang menjadi perangsang ekonomi; mengambil modal yang beku di tangan segelintir dan menyuntiknya ke dalam urat nadi negara. Apabila rakyat biasa mempunyai kemudahan, kemahiran dan peluang yang lebih baik, kuasa beli mereka melonjak. Dan itulah satu-satunya cara ekonomi ini akan benar-benar terangsang.
Setiap kali NWT dicadangkan, para penentang akan menjerit dengan ugutan lama: “Nanti orang kaya lari!” Mereka meramalkan capital flight—modal akan angkat kaki ke negara yang lebih ‘mesra’ cukai.
Sungguh, ancaman ini hanya sandiwara politik yang menyedihkan.
Pertama, ia melibatkan segelintir kecil, dan kedua, undang-undang boleh sentiasa diperketatkan.
Exit Tax
Pengenalan Cukai Keluar (Exit Tax) ke atas keuntungan modal yang belum direalisasikan ketika seseorang itu berpindah kerakyatan boleh menutup lubang ini.
Maksudnya, kalau kau nak lari, kau kena bayar dulu cukai ke atas semua kekayaan yang kau kumpul di atas bumi Malaysia ini.
Ini menunjukkan bahawa halangan terhadap NWT bukan teknikal, tetapi politik. Ia keengganan pihak berkuasa untuk mencabar status quo yang menguntungkan mereka.
Sudah tiba masanya kita menuntut Belanjawan yang berani—Belanjawan yang tidak hanya menguruskan kemiskinan, tetapi membongkar ketidakadilan yang berakar umbi. NWT ialah titik permulaannya. - DagangNews.com








