4 Cara Industri Kewangan Malaysia Dapat Diperkasa Melalui Diplomasi Ekonomi Tiga Serantau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

4 Cara Industri Kewangan Malaysia Dapat Diperkasa Melalui Diplomasi Ekonomi Tiga Serantau

Oleh Dr Maizaitulaidawati Md Husin

Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China 2025 yang berlangsung selama 2 hari pada 26 hingga 27 Mei 2025 di Kuala Lumpur telah menghimpunkan para pemimpin dari negara-negara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan China dapat memberikan impak yang positif kepada Malaysia. 

 

Diplomasi ekonomi ini bukan saja membuka mata dunia tentang kemajuan ekonomi, malah dapat memberi impak yang besar kepada industri-industri penting di Malaysia termasuk industri kewangan. 

 

 

Dr. Maizaitulaidawati Md Husin
    Dr. Maizaitulaidawati Md Husin

 

Terdapat beberapa cara industri kewangan Malaysia dapat diperkasa melalui diplomasi ekonomi tiga serantau ini. 

 

Pertama, dengan mengukuhkan pasaran modal serantau. Beberapa strategi dapat digunakan bagi mencapai objektif ini termasuk mewujudkan integrasi yang lebih dalam diantara Bursa Malaysia dan bursa-bursa serantau yang lain.

 

Lebih-lebih lagi Malaysia dikenali sebagai hab kewangan Islam, ia dapat menarik ramai pelabur dari dalam dan luar Malaysia untuk lebih menyumbang kepada ekonomi negara. Integrasi diantara bursa juga dapat memberi peluang kepada pelabur dari Malaysia untuk melabur di negara jiran yang lain tanpa halangan perundangan yang rumit. 

 

Kedua, penyelarasan standard kewangan serantau boleh dilaksanakan. Cara ini bukan sahaja memudahkan pelaburan merentas sempadan, malah dapat menyokong keharmonian peraturan kewangan diantara negara-negara yang terlibat. 

 

Sebagai contoh, dengan adanya penyeragaman piawaian ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus), dapat meningkatkan amalan yang lebih beretika, mampan dan telus dikalangan negara-negara yang terlibat. Ia juga dapat memudahkan pematuhan kepada standard yang telah ditetapkan. 

 

Ketiga, rangka kerja perbankan digital serantau boleh diwujudkan. Cara ini dapat dicapai dengan mengadakan memorandum persefahaman diplomatik dengan negara-negara yang berminat. Rangka kerja ini sememangnya dapat memperkasakan bank digital Malaysia untuk beroperasi di negara ASEAN dan juga dapat mempromosikan sistem pembayaran rentas sempadan, yang akan memudahkan pengguna dan juga membantu industri kewangan untuk lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa. 

 

Keempat, mewujudkan integrasi produk perlindungan dan pengurusan risiko serantau. Produk perlindungan dan pengurusan risiko ini bertujuan untuk mengumpul dana bencana bersama. 

 

Dengan peningkatan bencana alam, seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan tanah runtuh yang kerap berlaku kebelakangan ini, dana ini dapat membantu negara-negara yang terlibat dan secara tidak langsung dapat memberi impak sosial kepada organisasi, perniagaan atau individu di negara yang terlibat. 

 

Impak positif pemerkasaan industri kewangan 

Ekonomi Malaysia akan mendapat impak yang positif daripada diplomasi ekonomi ini. Antara impak tersebut termasuk meningkatkan aliran pelaburan asing, mengukuhkan nilai ringgit, meningkatkan inovasi kewangan dan teknologi, memperluaskan pasaran institusi kewangan Malaysia. 

 

Dengan adanya diplomasi ekonomi ini, dijangka aliran pelaburan asing dapat ditingkatkan. Lebih-lebih lagi dengan peningkatan keyakinan pelabur dari GCC dan China terhadap pasaran kewangan Malaysia, dan juga penambahan pelaburan dalam sektor perbankan. 

 

Selain itu, dengan peningkatan pelaburan dari luar negara, dan peningkatan permintaan terhadap produk kewangan Malaysia seperti saham dan bon, dapat meningkatkan aliran masuk mata wang asing secara konsisten, dan seterusnya membantu mengurangkan tekanan ke atas nilai ringgit. 

 

Peningkatan inovasi kewangan dan teknologi juga dapat dicapat dengan diplomasi ekonomi ini, lebih-lebih lagi dengan adanya pemindahan teknologi kewangan yang canggih dan juga dengan penubuhan makmal inovasi serantau ataupun sandbox rentas sempadan. 

 

Malaysia juga dapat memperluaskan pasaran untuk institusi kewangan, lebih lebih lagi pasaran ekonomi Islam.

 

Dengan adanya diplomasi ekonomi ini, diharap bank dan syarikat insurans/takaful di Malaysia dapat melebarkan sayap dengan membuka cawangan atau bekerjasama dengan negara-negara di GCC dan China, seterusnya meningkatkan keuntungan dan daya saing mereka di peringkat antarabangsa. - DagangNews.com

 

Dr Maizaitulaidawati Md Husin adalah seorang pengarah dan juga profesor madya di Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, UTM