Selamat Tinggal Proton R3: Kenangan Terindah sejak Tahun 2003 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Selamat Tinggal Proton R3: Kenangan Terindah sejak Tahun 2003

Oleh AZAD JASMI

Saya terpanggil untuk menulis artikel ini apabila munculnya berita menyedihkan bahawa divisyen R3 (Race, Rally, Research) di bawah Proton, yang suatu ketika dahulu menjadi salah satu nadi kepada pembangunan sukan pemotoran nasional, telah ditutup secara rasmi.

 

Penutupan ini bukan sekadar simbolik tetapi adalah indikator jelas bahawa sukan pemotoran di Malaysia sedang melalui fasa penguncupan yang serius.

 

Lebih menyedihkan, ini bukanlah kes terpencil. Kita telah menyaksikan perlumbaan rali tempatan lenyap tanpa pengganti, litar-litar legenda seperti Batu Tiga di tutup lama dahulu dan Pasir Gudang tidak lagi berfungsi seperti dahulu, dan tiada sistem pembangunan atlet permotoran yang tersusun mengikut negeri tidak seperti sukan-sukan arus perdana seperti bola sepak, badminton atau gimnastik yang mempunyai pelan jangka panjang dan sokongan infrastruktur akar umbi.

 

Hakikatnya, sukan pemotoran di Malaysia hari ini sedang berada di ambang kepupusan, bukan kerana tiada peminat atau bakat, tetapi kerana ketiadaan kerangka pembangunan yang berstrategi. 

 

 

R3

 


Tanpa polisi nasional yang jelas, tanpa dana pembangunan berstruktur, dan tanpa pengiktirafan institusi terhadap motorsport sebagai satu cabang sah industri sukan dan teknologi, maka terkuburlah bukan sahaja minat dan bakat rakyat Malaysia, tetapi juga potensi ekonomi dan inovasi yang terkandung dalam dunia sukan pemotoran.

 

Sudah tiba masanya kerajaan, agensi sukan, dan pemegang taruh industri melihat pembangunan sukan pemotoran ini dengan serius bukan sekadar aktiviti hobi elit, tetapi sebagai sektor strategik negara yang menyentuh bidang pendidikan teknikal (TVET), teknologi automotif, pembangunan belia dan pengukuhan ekonomi digital. Jika tidak, kita bukan sahaja akan kehilangan sukan ini, malah akan kehilangan satu saluran ekspresi kebangsaan yang penuh potensi dan semangat kejuruteraan.

 

Aktiviti pemotoran di Malaysia sedang melalui satu fasa suram. Meskipun keghairahan terhadap kenderaan berprestasi tinggi, modifikasi jentera dan acara-acara jalanan tidak pernah pudar, landskap sukan pemotoran (motorsport) secara formal dilihat seolah-olah hidup segan mati tak mahu. 

 

Dalam analisis ini, saya ingin membawa pembaca untuk melihat 3 spektrum utama aktiviti pemotoran sebagai hobi, sebagai sukan, dan sebagai industri serta memberi cadangan bagaimana negara boleh mengangkat sukan bermotor menjadi satu komponen penting dalam pembangunan belia, ekonomi dan teknologi.

 

1. Pemotoran Sebagai Hobi: Dunia Sendiri Yang Mahal

Bagi kebanyakan peminat jentera dua roda atau empat roda, aktiviti pemotoran bermula sebagai hobi peribadi. Sama ada dalam bentuk modifikasi (aftermarket tuning), penyertaan ke dalam kelab pemilik (owners’ clubs), mahupun konvoi ke lokasi ikonik, aktiviti ini dibiayai sendiri tiada sokongan dana, tiada subsidi, tiada pengiktirafan rasmi. Ia adalah ruang ekspresi, gaya hidup dan minat.

Namun realitinya, pemotoran sebagai hobi adalah sangat kos intensif. Harga alat ganti, penyelenggaraan, kos bahan api, dan cukai jalan membuatkan aktiviti ini terhad kepada yang berkemampuan. Maka, di sinilah letaknya cabaran utama hobi yang tidak inklusif dan tidak dapat diakses oleh bakat muda dari keluarga berpendapatan rendah. Maka bakat-bakat ini terhenti di bengkel dan tidak sampai ke trek.

 

2. Pemotoran Sebagai Sukan: Ketandusan Ekosistem Sokongan

Sukan pemotoran dari karting, rally, drifting, autocross, hill climb, gymkhana, drag hingga ke circuit racing sepatutnya diletakkan setaraf dengan sukan lain seperti bola sepak atau badminton. Ini memerlukan struktur pembangunan akar umbi (grassroots development), program bakat (talent pipeline), dan sokongan kewangan jangka panjang.

Namun apa yang berlaku hari ini adalah ketiadaan :-

i. Garis dasar nasional untuk pembangunan motorsport
ii. Dana khas tahunan seperti MSN/MYC bagi sukan-sukan lain
iii. Kemudahan latihan seperti litar komuniti
Program pembangunan atlet jangka panjang yang berstruktur. 

 

 

R3

 

 

3. Pemotoran Sebagai Industri: Sektor Ekonomi Yang Tidak Didedahkan Di Malaysia

Dunia melihat motorsport sebagai industri bernilai bilion dolar. Formula 1, MotoGP, WRC, DTM, WEC semuanya bukan hanya acara sukan, tetapi platform R&D, pemasaran, pelancongan dan pembangunan teknologi. Negara-negara seperti UK, Jerman, Jepun dan UAE telah menjadikan motorsport sebagai sektor strategik, malah ada “Motorsport Valley” di UK yang menyumbang kepada GDP.

Malaysia, walaupun pernah menganjurkan F1 dan MotoGP, masih tidak mempunyai dasar pembangunan industri motorsport. Tiada jabatan khusus dalam Kementerian Belia dan Sukan, tiada unit dalam MITI, malah motorsport tidak dianggap sebagai komponen industri kreatif atau teknologi. Ini satu kerugian besar.

 

4. Isu Utama: Ketiadaan Kerangka Dasar dan Institusi

Masalah pokok yang menghambat pembangunan sukan pemotoran di Malaysia ialah ketiadaan item seperti dibawah :-

a. National Motorsport Blueprint iaitu tiada hala tuju jangka panjang, objektif, dan KPI yang jelas.

b. Agensi pelaksana; tiada “Motorsport Commission” yang aktif seperti di UK atau Australia.

c. Skim tajaan & pelaburan awam-swasta motorsport kekal bergantung kepada dana peribadi atau syarikat kecil.

d. Platform pendidikan teknikal (motorsport engineering) kolej dan universiti belum memasukkan modul khas motorsport secara profesional.

 

5. Cadangan Strategik untuk Pembaharuan Sukan Pemotoran Negara

Sebagai refleksi daripada kajian antarabangsa, pemerhatian industri, serta kerangka pembangunan sukan moden, berikut adalah lima cadangan konkrit:

 

a. Penubuhan Suruhanjaya Sukan Pemotoran Negara (NSMC)

Seperti Motorsport Australia, NSMC akan berperanan sebagai badan penyelaras, penggubal dasar, dan pelaksana kepada semua aktiviti motorsport. Di bawah pengawasan KBS dan MITI secara bersama.

 

b.  Blueprint Sukan Pemotoran (2026–2040)

Dokumen strategik yang merangkumi pembangunan atlet, kemudahan, industri sokongan, pendidikan, dan penganjuran acara bertaraf dunia. Perlu dikaji dan digubal oleh gabungan pakar akademik, pelumba profesional, penganjur, dan pemain industri.

 

c.  Dana Pembangunan Motorsport Belia (Youth Motorsport Fund)

Geran padanan (matching grant) untuk akademi, kelab, dan penganjur tempatan bagi memulakan kejohanan akar umbi dan latihan jurulatih. Fokus kepada sukan kos rendah seperti go-kart, gymkhana, slalom dan rally.

 

d.  Pusat Kecemerlangan Teknologi Motorsport (Motorsport TechHub)

Ditubuhkan di universiti teknikal utama pusat ini memberi tumpuan kepada motorsport engineering, EV racing, data telemetry, race simulation, dan vehicle dynamics.

 

e. Rangkaian Litar Komuniti (Community Circuits Network)

Pembangunan semula litar kecil terbiar seperti litar Batu Tiga, Pasir Gudang, dan pembangunan micro circuits di setiap negeri sebagai pusat latihan, penganjuran dan intervensi sosial belia. Termasuk litar rally, motorcross dan lain-lain.

 

6. Tanpa Tindakan, Motorsport Akan Berkubur

Tanpa pelan strategik dan tindakan terancang, sukan bermotor akan terus kekal sebagai aktiviti eksklusif golongan berada, tanpa manfaat kepada pembangunan modal insan negara. Ketiadaan sistem menyeluruh menyebabkan rally tempatan mati, drift venue ditutup, drag race menjadi aktiviti haram, dan anak muda beralih ke ‘illegal street racing’.

 

 

R3

 

 

Sukan ini tidak harus dipinggirkan. Jika bola sepak diberi dana jutaan, mengapa motorsport tidak layak menerima pelaburan yang sama, sedangkan ia menyumbang kepada TVET, kejuruteraan, pelancongan, keselamatan jalan raya dan industri automotif?

 

Namun, segala usaha ke arah membangunkan semula sukan pemotoran negara ini tidak akan berhasil sekiranya pelantikan dan pemilihan individu-individu yang diberi amanah untuk menerajui agensi, jabatan, atau sektor berkaitan terus berpaksikan kepada budaya lama iaitu pelantikan atas dasar “pilih orang lama”, pengaruh politik, atau hanya berdasarkan nama dan jaringan lama yang berlegar dalam kelompok sama.

 

Sudah tiba waktunya kita membuka ruang kepada barisan baharu individu yang benar-benar memahami denyut nadi komuniti pemotoran, yang mempunyai energi baharu, idea segar, serta semangat dan bakat tulen untuk mencorak masa depan industri ini. 

 

Kita tidak boleh lagi mengulang kitaran pelantikan figura-figura lama yang sekadar hadir tanpa visi yang relevan untuk zaman kini.

 

 

R3

 

 

Sukan pemotoran bukan sekadar tentang kelajuan dan mesin. Ini tentang strategi, kejuruteraan, daya tahan, dan inovasi nilai-nilai yang memerlukan pemimpin yang memahami budaya kerja moden, berjiwa rakyat, dan mampu membina jaringan antara kerajaan, sektor swasta, komuniti teknikal, dan peminat akar umbi.

 

Maka, marilah kita lihat sukan ini bukan lagi sebagai sisa hobi elit, tetapi sebagai tapak pembinaan ekonomi, teknologi, dan bakat belia negara.

 

Dan marilah kita mulakan perubahan ini dengan keberanian untuk memberikan peluang kepada mereka yang benar-benar layak bukan kerana mereka dikenali, tetapi kerana mereka mempunyai keupayaan untuk membawa harapan dan perubahan.

 

Dengan rendah hati, inilah seruan saya sebagai rakyat yang cintakan pembangunan sukan bermotor. - DagangNews.com

 

Azad Jasmi adalah Peminat Sukan Bermotor