KUALA LUMPUR 24 Ogos - Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong mengumumkan koleksi NFT eksklusifnya, 'P.Zero1' melalui syarikat pengurusannya, Knight Communications dengan kerjasama Prime Sports NFT.
Bermula hari ini sehingga 31 Ogos, koleksi NFT tersebut tersedia untuk lelongan melalui pasaran NFT digital, OpenSea.
Para peminat berpeluang membuat bidaan bagi menjadi pemilik tunggal NFT yang menawar pengalaman tidak ternilai dengan Pandelela dan cetakan berbingkai NFT yang akan dihantar sendiri atlet itu.
Pandelela tertarik dengan industri NFT yang kian berkembang di peringkat global, dan terdorong untuk mencipta barisan karya seni digitalnya sendiri sebagai ekspresi perjalanan profesional dan peribadinya sebagai seorang atlet.
“Visi saya untuk ‘P.Zero1’ adalah untuk berkongsi sebahagian kisah saya dengan dunia dan memberi penghormatan kepada sukan ini yang telah mengubah hidup saya secara drastik daripada seorang gadis kampung Bidayuh kepada seorang olahragawati yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
"Pepatah 'Zero to One' mencerminkan perjalanan yang telah saya harungi tentang nasib, ketabahan, kekuatan mental dan dedikasi yang telah membawa saya sejauh ini serta keseluruhan proses mencipta sesuatu yang sangat baharu.
"Seperti kata pepatah, hanya langit sebagai batasan dan mesej saya adalah agar orang ramai sentiasa berusaha untuk membuat penemuan diri dan terus berkembang dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap matlamat mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengasas dan Pengurus Jenama Knight Communications, Jolene Knight berkata, projek ini sudah lama dilaksanakan dan mereka teruja untuk berkongsi ‘P.Zero1’ dengan rakyat Malaysia dan dunia.
"Kami teruja untuk menganjurkan peluang sekali dalam seumur hidup ini untuk pemilik NFT untuk mempunyai pengalaman peribadi yang direka khusus dengan Pandelela," katanya.

Pengasas Prime Sports International (PSI), Yong-Chul Yun pula berkata misi mereka adalah untuk memupuk proses kreatif antara atlet dan artis sambil membawa NFT ke pasaran untuk peminat.
"Kami menyokong teguh dalam menggalakkan hubungan yang lebih erat antara atlet dan peminat serta sentiasa mencari jalan untuk menginovasikan penglibatan ini," katanya.
Berasal dari Pulau Pinang, Nicholas Chuan merupakan artis digital di sebalik Pandelela 'P.Zero1' NFT yang turut membawa portfolio ilustrasi untuk organisasi terkenal dunia seperti UEFA, Red Bull Racing Formula 1, Liverpool FC dan FC Bayern dan terbaru legenda bola sepak negara, Safee Sali iaitu 'SEPULUH' NFT. - DagangNews.com







