KUALA LUMPUR 17 Nov - Panasonic bekerjasama dengan Harvey Norman melaksanakan inisiatif 'Energy for Green Future' yang bertujuan untuk memacu penyertaan aktif dalam kitar semula bateri dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kerjasama antara Panasonic dan Harvey Norman menandakan satu peristiwa penting dalam menjadi penyokong kelestarian alam sekitar, sambil menggalakkan rakyat Malaysia untuk menerima gaya hidup yang lebih mementingkan alam sekitar.
Menerusi kerjasama itu, Panasonic dan Harvey Norman berhasrat untuk memberikan kesan positif yang besar kepada alam sekitar, selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kitar semula bateri.
Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Keisuke Nishida berkata, misi pihaknya yang telah lama digagaskan pengasasnya, yang mana kumpulan harus menyumbang kepada masyarakat.
"Dan hari ini, langkah termasuk menangani cabaran global membabitkan perubahan iklim adalah selaras dengan slogan tindakan jenama kami 'Create Today. Enrich Tomorrow’, yang mana kami bukan sahaja menumpukan kepada memperkayakan kesejahteraan holistik pelanggan, malah meningkatkan kesejahteraan planet kita.
"Bateri adalah item yang digunakan dalam kebanyakan alat dan perkakas elektronik kami, tetapi saluran untuk mengitar semulanya dan kesedaran tentang kepentingan mengitar semulanya masih agak rendah.
"Melalui inisiatif Energy for Green Future, kita secara bersama mampu berusaha ke arah masa depan yang mampan, dan satu langkah kecil ialah dengan menyediakan pilihan kitar semula bateri yang mudah," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Pengurus Produk Bahagian Elektrik Harvey Norman, Eugene Lim pula berkata, kelestarian adalah sebahagian daripada DNA mereka sebagai syarikat Australia, yang mana kitar semula adalah sebahagian besar daripada gaya hidup.
"Apabila Panasonic membentangkan kepada kami inisiatif kitar semula bateri ini, kami bersetuju untuk bekerjasama dengan segera kerana kekurangan kesedaran dan saluran untuk orang ramai mengitar semula bateri terpakai di negara ini dan kami mahu menjadi sebahagian daripada usaha membolehkan lebih banyak tabiat kitar semula yang baik di kalangan rakyat Malaysia.
"Selain itu, kerjasama dengan Panasonic ini adalah bukti komitmen bersama kami terhadap kelestarian alam sekitar. Bersama-sama, kita bukan sekadar meningkatkan kesedaran; kami secara aktif melibatkan masyarakat dalam perjalanan ke arah mewujudkan masa depan yang mampan dan lestari," katanya.
Tong Eco Panasonic kini boleh didapati di 8 lokasi Harvey Norman di Lembah Klang, Mid Valley MegaMall, Menara Harvey Norman, IPC, Sunway Pyramid, Citta Mall, Pavillion Bukit Jalil, IOI City Mall Putrajaya dan Nu Sentral. Lebih banyak Tong Eco akan ditempatkan di lebih banyak cawangan Harvey Norman di luar Lembah Klang.
Mulai sekarang hingga 26 November 2023, bersempena dengan inisiatif ‘Energy for Green Future’, Panasonic menganjurkan Jerayawara Bateri di Harvey Norman Mid Valley yang mana pelanggan boleh memperoleh lebih banyak diskaun dan hadiah apabila membawa bateri terpakai untuk dikitar semula di Tong Eco. - DagangNews.com








