Pakej kontraktor sivil utama projek MRT3 mandatori untuk Bumiputera | DagangNews Skip to main content

Pakej kontraktor sivil utama projek MRT3 mandatori untuk Bumiputera

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Jun - Semua pakej kontraktor sivil utama projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) adalah mandatori untuk Bumiputera.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, peserta industri perlu membentuk usaha sama (JV) atau konsortium dengan syarikat pembinaan Bumiputera.

 

Beliau berkata, semua petender juga dikehendaki mengemukakan cadangan peningkatan ekonomi untuk memangkin aktiviti ekonomi di luar sektor pembinaan.

 

Jelasnya, elemen mandatori dalam proses tender adalah untuk semua rakan kongsi dalam JV/konsortium mengisytiharkan Pemunyaan Benefisial Muktamad masing-masing melalui akuan berkanun.

 

"Konsep pemunyaan benefisial tidak terhad kepada pemilikan melalui pegangan kepentingan dalam entiti undang-undang, tetapi melangkaui di luar struktur pemilikan, selaras dengan 'Guideline For The Reporting Framework For Beneficial Ownership Of Legal Persons'.

 

"Ia meliputi kedua-dua perspektif pemilikan dan kawalan. Peratusan minimum yang diperlukan untuk 'Effective Bumiputera Ultimate Beneficial Ownership' ialah 31% untuk (pakej) CMC301 dan CMC 302, dan 20% untuk CMC303," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Mohd Zarif, peratusan bahagian kerja Bumiputera di Tahap 2 perlu sekurang-kurangnya mempunyai nilai yang sama seperti 'Effective Bumiputera Ultimate Beneficial Ownership' di dalam pakej masing-masing.

 

"Adalah menjadi hasrat kami untuk mempunyai peserta Bumiputera yang berkebolehan untuk menyertai projek MRT3 dan yang lebih penting, mereka mestilah ahli aktif JV/konsortium dengan skop kerja sendiri," katanya.

 

Beliau berkata, MRT Corp sedang menjalankan proses tender terbuka untuk empat pakej kontrak utama MRT3 dengan taklimat tender untuk pakej perunding pengurusan projek (PMC) telah diadakan awal bulan lalu, manakala taklimat tender bagi tiga pakej kontraktor sivil utama selesai minggu lalu.

 

Jelasnya, sebelum permulaan proses tender itu, MRT Corp telah memulakan kerja-kerja bagi projek reka bentuk rujukan pada suku pertama 2021.

 

"Koridor penjajaran MRT3 telah ditentukan sebagai sebahagian daripada reka bentuk rujukan ini. Berbeza dengan projek MRT2 Laluan Putrajaya yang hanya mempunyai satu kontraktor turnkey utama di Tahap 1, projek MRT3 akan menyaksikan lima kontraktor utama Tahap 1 dilantik untuk menerajui pelaksanaannya.

 

"Aktiviti pembinaan MRT3 akan terus diagihkan pada Tahap 2 kepada kebanyakan syarikat pembinaan saiz sederhana dan kecil sebagai kontraktor pakej kerja (WPC). Serupa dengan projek MRT1 dan MRT2, pelantikan WPC MRT3 akan dilakukan melalui eksesais tender bermula dari tahun hadapan.

 

"Oleh itu, akan ada banyak peluang untuk syarikat pembinaan tempatan untuk mengambil bahagian, tanpa mengira saiz. Buat masa ini, tumpuan diberikan kepada pelantikan kontraktor sivil utama di Tahap 1," katanya.

 

Beliau berkata, berdasarkan keperluan tender, mungkin terdapat enam hingga sembilan syarikat yang akan dianugerahkan sebagai kontraktor sivil utama dalam tiga JV atau konsortium berbeza.

 

"Berbanding projek MRT1 dan projek MRT2, lebih banyak syarikat akan dapat mengambil bahagian di Tahap 1 di dalam projek MRT3. Pemenang PMC, kontraktor sivil utama dan pakej kontraktor turnkey sistem mesti bekerjasama. Kepentingan semua pihak mesti diselaraskan untuk mencapai objektif bersama. 

 

"Tanggungjawab untuk menyelaraskan aktiviti kerja pembinaan telah dipertanggungjawabkan kepada PMC. Biarpun tidak akan ada Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) yang dikenakan ke atas PMC, mereka akan diberi petunjuk prestasi utama (KP)I dan ada penalti jika tidak memenuhinya.

 

"Pendekatan baharu dalam penyampaian projek dan strategi kontrak ini adalah kemuncak dalam satu dekad pengalaman berharga MRT Corp sebagai pemilik aset dan pemaju projek. MRT Corp yakin dengan keupayaan dan daya tahan peserta pembinaan Malaysia serta ekosistem yang menyokongnya," katanya. - DagangNews.com