KUALA LUMPUR 29 Feb - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyatakan rasa bimbang dengan kelewatan berterusan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, dalam pembentangan laporan tindakan susulan terhadap kemajuan projek LCS, jawatankuasa itu dimaklumkan bahawa setakat Disember 2023, projek itu telah lewat 86 hari dengan mencapai 67.28% berbanding jadual garis masa baharu yang telah ditetapkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) iaitu 68.77%.
"Kebimbangan utama PAC adalah pembinaan kapal LCS terus lewat, tambahan lagi isu reka bentuk terperinci bagi kapal-kapal itu juga masih gagal dimuktamadkan MINDEF dengan syarikat Perancis yang mereka bentuk LCS iaitu Naval Group," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan tindakan susulan yang diambil MINDEF terhadap 11 syor yang dibuat PAC terhadap kemajuan projek LCS bagi tempoh Oktober 2022 hingga September 2023 yang dibentangkan hari ini.
Katanya kontraktor bagi projek berkenaan, Boustead Naval Shipyard (BNS) ditukar nama kepada Lumut Naval Shipyard (LUNAS) setelah ia diambil alih oleh Ocean Sunshine Bhd milik Menteri Kewangan Diperbadankan pada 18 Ogos, tahun lepas, lapor Bernama.

"Orang ramai boleh membaca setiap tindakan susulan dan ulasan PAC dengan melayari laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac," katanya. - DagangNews.com








