KUALA LUMPUR 13 Julai - RHB Investment Bank mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan dan dijangka mencatat pertumbuhan pembiayaan yang mampan pada separuh kedua 2022.
Menurut firma itu, penggunaan dan aktiviti perniagaan yang pulih daripada paras semasa pandemik, sepatutnya menyaksikan bank mencapai pertumbuhan pinjaman pertengahan satu digit mereka untuk tahun ini.
Katanya, meskipun kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini tidak dijangka memberi kesan buruk terhadap permintaan pinjaman, sebarang harapan awal untuk berlaku kejutan positif kini telah tiada.
"Kami mengunjurkan prestasi yang lebih baik pada separuh kedua 2022 dan 2023, tetapi mula berkurangan apabila risiko kepada pertumbuhan mula menurun.
"Pakar ekonomi kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar menyederhana kepada 4.5% pada 2023 daripada 5.3% tahun ini. Kemelesetan ekonomi bukanlah perkara asas kami," katanya dalam nota kajian hari ini.
Minggu lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia menaikkan OPR yang menjadi penanda aras pinjaman dan tabungan iaitu sebanyak 25 mata asas (bps) atau 0.25% kepada 2.25%.
Susulan peningkatan itu, kadar siling dan lantai koridor OPR juga meningkat masing-masing kepada 2.50% dan 2.00%.
Ia kenaikan kedua berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR sebanyak 25 bps kepada 2.00% semasa mesyuarat terakhirnya Mei lalu.
RHB Investment percaya imbangan risiko menunjukkan kenaikan ketiga sebanyak 25bps kepada 2.50% pada Sepember 2022.
"Kenaikan kadar ini lebih awal dan lebih tinggi daripada jangkaan seharusnya memberi kesan positif kepada margin faedah bersih (NIM) bank pada 2022 hingga 2023.
"Pengiraan kami menunjukkan peningkatan kira-kira 2% dalam pendapatan sektor ini bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dengan bank yang lebih kecil dijangka mencatatkan peningkatan yang lebih kukuh sebanyak 3 hingga 5% berbanding 2% untuk bank yang besar," jelasnya.
Menurut firma itu, pendapatan bagi sektor perbankan diunjur berkembang 5.4% pada 2022 tetapi dihadkan dengan pelaksanaan Cukai Makmur.
"Walaupun dengan Cukai Makmur, kami menjangkakan bank akan mengekalkan nisbah pembayaran dividen FY21 pada FY22," tambahnya.
Secara keseluruhan, ia memilih saham Hong Leong Bank Bhd., AMMB Holdings Bhd dan Malayan Banking Bhd. sebagai pilihan utama bagi sektor perbankan. - DagangNews.com








